Kumpulan Penuh Tahunan Meningkat, Bukti 1MDB Produktif – Ahmad Maslan

Kuala Lumpur – Keputusan penuh tahunan untuk 12 bulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berakhir pada 31 Mac lepas membuktikan tahun yang produktif untuk kumpulan di mana ia memperoleh beberapa aset tenaga dan hartanah berkualiti tinggi untuk portfolionya yang semakin berkembang.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, kumpulan mencatatkan kerugian berjumlah RM665.3 juta untuk tahun kewangan ini, sebahagian besarnya berpunca daripada kos pembiayaan yang lebih tinggi berjumlah RM2.4 bilion, berbanding RM1.6 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.

“Ia sebagai sebahagian daripada strategi untuk mengembangkan pangkalan asetnya.

“Nilai pangkalan aset kumpulan meningkat kepada RM51.4 billion, berbanding RM44.6 billion pada tahun kewangan sebelumnya, dengan jumlah pinjaman meningkat daripada RM36.2 bilion kepada RM41.9 bilion,” katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya di sini hari ini.

Jelasnya, jumlah keseluruhan pendapatan meningkat 64 peratus daripada RM2.6 bilion kepada RM4.3 bilion, mencerminkan kualiti portfolio aset-asetnya yang sedang dibangunkan dan kekukuhan penjanaan pendapatan.

“Pangkalan aset berkualiti tinggi ini disokong oleh wang tunai yang kukuh dan simpanan yang sepadan berjumlah RM16.7 billion, dengan perniagaan berada pada kedudukan yang baik untuk membiayai perbelanjaan modal yang besar bagi 12 sehingga 24 bulan akan datang, dan menyediakan ruang yang luas untuk mencapai keperluan pembiayaan masa depan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, fokus utama untuk perbelanjaan modal dalam tahun kewangan berikutnya termasuk projek yang diperoleh oleh anak syarikat tenaga dan pembangunan berterusan Tun Razak Exchange (TRX).

“Ia merupakan hub kewangan pertama Kuala Lumpur, oleh anak syarikat hartanah kami.

“Sejak penghujung tahun kewangan pada Mac 2014, 1MDB telah menebus sejumlah lebih RM4 billion daripada pelaburan kami dalam Syarikat Portfolio Berasingan (Segregated Portfolio Companies) yang berdaftar di Cayman Islands, dengan bakinya dijangkakan untuk diperolehi sepenuhnya pada November 2014.

“Dividen sebanyak RM435 juta daripada pelaburan ini juga telah diperolehi selepas tahun kewangan berakhir Mac 2014 dan akan dimasukkan ke dalam akaun tahun kewangan seterusnya berakhir Mac 2015,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman berkata, pihaknya akan mengekalkan fokus kepada mengembangkan pangkalan aset syarikat dan kapasiti pelaburan.

“Ini telah dipacu oleh perbelanjaan modal yang besar dalam jangka pendek yang menyebabkan kerugian yang telah dijangka untuk tahunan kewangan ini disebabkan kenaikan jumlah pinjaman”.

“Walau bagaimanapun kami yakin bahawa aset-aset berkualiti tinggi dan projek yang telah diperolehi akan memacu perniagaan kami ke hadapan serta memastikan pertumbuhan dalam jangka masa panjang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.