Khairuddin Proksi Veteran UMNO Yang ‘Ditugaskan Bangkit Isu 1MDB

Kuala Lumpur – Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan digesa tidak membuat tuduhan melulu terhadap tanggungjawab pemimpin parti dalam isu syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, masalah 1MDB sudah dibincang di pelbagai lapisan peringkat, malah dibangkitkan dalam mesyuarat MT parti.

“Dia kata pemimpin UMNO bacul, masalahnya adakah dia tahu apa tindakan kita mengenai isu ini? Dia tidak tahu apa-apa.

“Mana boleh disamakan cara dia dengan cara kita. Kita ada bangkit isu ini di Parlimen. Khairuddin ini siapa?

“Kita ada medan MT, kita jumpa kepimpinan tertinggi UMNO dan bincang isu ini, kita juga bincang isu ini dengan Menteri Kewangan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tajuddin mengulas tuduhan Khairuddin yang menyifatkan pemimpin UMNO sebagai bacul dan terlampau takut untuk membangkitkan isu berkenaan masa depan dan risiko sebenar yang dihadapi 1MDB.

Tambah Tajuddin, pemimpin UMNO juga disifatkan sudah berjumpa dengan pengurusan 1MDB selain mengaku sudah ada jawapan di sebalik kemelut yang didakwa ramai pihak itu.

“Soalnya sekarang kepada Khairuddin, apa yang dia tidak puas hati berkenaan risiko duit rakyat dan setiap apa laporan polis yang dibuatnya. Tetapi kalau dia hendak buat laporan polis, itu hak dia,” jelasnya.

Dalam pada itu, Tajuddin turut menyifatkan Khairuddin merupakan ‘proksi’ kepada seorang veteran UMNO yang ditugaskan untuk membangkitkan isu 1MDB.

Tajuddin juga mengambil contoh sejarah Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) yang turut mengalami sedikit ‘kejatuhan’ pada awal penubuhannya.

“Kalau diikut tekanan pembangkang dan beberapa pihak tertentu, sudah lama Proton terkubur. Namun, lihatlah apa berlaku kepadanya sekarang…sudah jadi kebanggaan negara.

“Sama juga dengan 1MDB. Mungkin sekarang tidak nampak lagi perkembangannya, namun berilah kepercayaan kepadanya untuk satu tempoh masa panjang,” jelasnya.

Sementara itu Khairuddin ketika diminta mengulas mengenainya memberi amaran kepada Tajuddin agar menarik balik tuduhan tersebut sambil menyifatkannya sebagai fitnah yang tidak berasas

“Tarik balik tuduhan saya ‘proksi’ veteran UMNO yang ditugaskan untuk membangkitkan isu syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).”

“Memang jika hendak dibandingkan saya dengan dia, ibarat bumi dan langit, sangat jauh, tetapi (saya) hendak beri amaran kepadanya supaya menarik balik kenyataan (bahawa) saya adalah seorang ‘proksi’, saya tidak teragak-agak untuk menyamannya jika ia berulang,” katanya ketika dihubungi Awani.

Khairuddin mengulas kenyataan Tajuddin yang memintanya tidak membuat tuduhan melulu terhadap tanggungjawab pemimpin parti dalam isu syarikat pelaburan negara 1MDB.

Kata Khairuddin, veteran parti berkenaan disifatkan tidak memerlukan seorang ‘proksi’ sepertinya jika mempunyai misi untuk ‘menjatuhkan’ 1MDB seperti yang didakwa Tajuddin.

“Perjuangan ini berteraskan prinsip. Saya berjuang seorang diri dan tidak perlukan tangan ghaib, lagipun saya hanya seorang kerdil sahaja,” jelasnya.

Ujarnya, kenyataan Tajuddin yang menyatakan sudah berjumpa peringkat tertinggi syarikat dan parti mengenai isu 1MDB turut diragui.

“Jika sudah jumpa, mengapa tidak diperjelaskan kepada rakyat, mengapa tidak buat penerangan secara terbuka mengenai isu ini?” katanya.

Jelasnya lagi, setiap pandangan Tajuddin sebelum ini sentiasa dihormati walaupun pernah berada di pihak pembangkang.

Katanya lagi, laporan polis yang dibuatnya hanya meminta pihak berkenaan menyiasat dana 1MDB dan bukannya Presiden UMNO atau sesiapa di peringkat tertinggi parti.

“Inilah masalah pemimpin UMNO, bila sudah cakap hendak melenting. Kenapa tiba-tiba baru sekarang hendak melenting?” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.