Kes Rasuah Ahli Politik : Kalau Ada Yang Mendakwa, Kita Mahu Maklumat Lanjut – Mustafar Ali

Kuala Lumpur – Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mustafar Ali berkata siasatan terhadap ahli politik yang terlibat dalam rasuah sukar dilakukan ekoran kekurangan bukti yang kukuh.

Lapor Sinar Harian, beliau berkata, ia berpunca daripada sikap segelintir masyarakat yang tidak memberi maklumat lengkap apabila membuat aduan mengenai rasuah.

“Memang kita ada terima laporan berkaitan rasuah melibatkan ahli politik, tetapi kadangkala ada maklumat diterima dalam bentuk surat layang, tanpa nama pemberi maklumat.

“Jadi sukar untuk kita lanjutkan penjelasan. Kalau ada yang mendakwa ahli politik tertentu terlibat rasuah, kita mahu maklumat lebih lanjut,” katanya ketika ditemui di program Walk Against Corruption anjuran Transparency International – Malaysia (TI-M), semalam.

Jelas beliau, rakyat seharusnya menjadi masyarakat yang lebih berintegriti dalam menyalurkan sebarang maklumat.

“Persepsi senang dilontarkan, kata orang itu atau jabatan ini banyak rasuah. Kalau hanya melontarkan maklumat rasuah mengenai seseorang tetapi maklumat yang sama tidak sampai kepada SPRM, tiada maknanya.

“Paling penting adalah mengemukakan maklumat bukannya ‘baling batu sembunyi tangan’. Kita akan pastikan maklumat itu disiasat dan bertindak jika ada bukti kukuh,” katanya.

Pada masa yang sama, masyarakat juga tidak perlu khuatir berdepan risiko sekiranya menyalurkan maklumat kerana terdapat undang-undang melindungi mereka.

“Ada yang takut beri maklumat sebab orang politik ini berkuasa. Jangan risau kerana kita ada Akta Perlindungan Pemberian Maklumat dan Akta Perlindungan Saksi.

“Sebarang tindakan dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan. Malah, tindakan sivil atau jenayah juga tidak boleh dikenakan ke atas mereka jika mereka memberi maklumat yang benar,” jelasnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.