Kerana Cemburu, Suami Potong Tangan Dan Kaki Isteri Sebelum Gantung Diri

Kluang – Kerana cemburu, seorang suami bertindak mengerat kedua kaki dan tangan isterinya sebelum menggantung dirinya semalam.

Sehingga kini, keluarga wanita malang itu buntu memikirkan nasib wanita itu selepas doktor memberitahu kemungkinan kedua-dua kaki dan tangan itu tidak boleh disambung lagi.

“Kami sekeluarga buntu dan tidak tahu hendak lakukan apa-apa kerana memikirkan nasib yang menimpa adik setelah kedua-dua pergelangan kaki dan tangannya putus,” kata abang mangsa sebagaimana dilaporkan oleh Utusan Online hari ini.

K. Menaga, 44, putus anggota badan itu akibat dikerat dengan kejam oleh suaminya dalam pertengkaran di rumah mereka di Taman Sri Suria semalam.

Abangnya, K. Ravichantaran, 47, berkata, lebih meresahkan mereka apabila doktor yang merawat adiknya memberitahu kemungkinan kedua-dua kaki dan tangan itu tidak dapat disambung semula.

“Namun, doktor memberi kami semangat agar terus bersabar untuk menunggu keadaan dia stabil dan menggunakan kaedah rawatan lain,” katanya dipetik Utusan.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, suami Menaga yang cemburu kerana mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain bertindak menggantung diri selepas mencederakan wanita tersebut.

Ravichantaran berkata, adik keduanya yang kini masih tidak sedarkan diri kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

“Kami mahu keadaan kembali reda terlebih dahulu sebelum memikirkan masa depan mereka. Ketika ini banyak urusan perlu dilakukan dan anak sulung mangsa juga sedang menunggu tawaran untuk melanjutkan pengajian ke universiti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Roze Shaari meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi tentang kejadian tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.