Kelantan Adakan Sidang DUN Khas Bincang Hudud

Kota Bharu – Kerajaan negeri PAS Kelantan akan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas pada 29 Disember ini bagi mengemukakan pindaan terhadap Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan (EKJS II) berkaitan hukum Hudud.

Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob berkata, pindaan tersebut perlu dibuat untuk melayakkan Kelantan membawa usul rang undang-undang persendirian EKJS II ke sidang Dewan Rakyat di Parlimen dan seterusnya melaksanakan hukum hudud di negeri itu.

“Pilihan ini dibuat kerana kita merujuk kepada Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan, iaitu kerajaan Persekutuan melalui kebenaran Parlimen boleh memberi kuasa kepada kerajaan negeri melaksanakan undang-undang tersebut di Kelantan.

“Pindaan ini memerlukan sokongan dua pertiga ahli Dewan (DUN) dan kita berharap semua akan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan (sidang DUN Khas 29 Disember) nanti,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Sebelum ini Ahmad Yakob memberitahu bahawa kerajaan negeri akan membawa usul persendirian ke Parlimen bagi membolehkan EKJS II dilaksanakan di Kelantan pada 2015.

Sebagai persiapan ke arah pelaksanaannya kerajaan negeri juga mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Peringkat Negeri.

Pada 9 Disember lalu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, sebelum ini kerajaan negeri mewujudkan jawatankuasa kecil untuk menyemak EKJS (II) yang ada sekarang.

Katanya, ada cadangan dikemukakan kepada jawatankuasa berkenaan bagi memperkemas dan memantapkan lagi enakmen tersebut.

Beliau seterusnya memaklumkan Enakmen itu sudah siap dan telah dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada 1 Disember lalu, sebelum dibentangkan pada mesyuarat Lembaga MAIK yang dipengerusikan Tengku Mahkota Kelantan sebagai Yang Dipertua MAIK.

Sidang Khas DUN Kelantan pada 29 Disember ini diadakan ekoran pindaan EKJS II itu telah mendapat persetujuan daripada dua jawatakuasa terbabit.

Mohd Amar juga dilaporkan berkata, Jawatankuasa Teknikal berkenaan bermesyuarat lima kali dalam tempoh tidak sampai setahun.

Dalam tempoh itu juga beberapa siri bengkel dan diskusi berkaitan pelaksanaan hudud telah diadakan oleh kerajaan negeri Kelantan.

Antaranya muzakarah kaedah-kaedah pelaksanaan hukum hudud dengan mengundang mufti, hakim-hakim syarie, pakar undang-undang dan pakar perubatan dari seluruh negara yang dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHAEIK) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Rumusan muzakarah itu telah siap termasuk perincian bagaimana hendak melaksanakan hukuman hudud.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.