Kalimah Allah: Polis Buka Kertas Siasatan Terhadap Guan Eng

Georgetown – Polis Pulau Pinang telah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa larangan penggunaan kalimah Allah tidak termaktub kepada orang bukan Islam di negeri itu.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, siasatan akan dijalankan di bawah kertas inkuiri polis selepas pihaknya menerima satu laporan polis berhubung perkara itu pada Sabtu.

“Setakat ini hanya satu laporan yang kita terima dan pihak polis telah pun membuka kertas siasatan di bawah kertas inkuiri polis untuk menjalankan siasatan di bawah isu ataupun bekenaan isu kalimah Allah ini,” kata Abdul Rahim.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan operasi pencegahan jenayah peringkat Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut di George Town, lewat malam tadi.

Semalam, UMNO bahagian Bukit Mertajam meminta polis menyiasat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di bawah Akta Hasutan berhubung kenyataannya itu.

Ketua Pemuda UMNO bahagian Bukit Mertajam, Ifan Zaimi Mad Taha mendakwa kenyataan Guan Eng itu mempunyai unsur hasutan dan boleh membangkitkan rasa tidak puas hati di kalangan umat Islam di negeri itu.

Guan Eng dalam sidang medianya pada Jumaat dilaporkan berkata tiada larangan dikenakan terhadap masyarakat bukan Islam di negeri itu daripada menggunakan kalimah Allah.

Ini kerana katanya, Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri 2004 tidak terpakai kepada orang bukan Islam.

Kerajaan DAP Pulau Pinang juga katanya tidak pernah meluluskan sebarang undang -undang bagi membenarkan enakmen berkenaan dilaksanakan terhadap masyarakat bukan Islam di negeri itu.

Bagaimanapun Guan Eng mendakwa penggunaan kalimah Allah tidak menjadi isu di kalangan penganut Kristian di negeri itu kerana kebanyakan upacara dijalankan dalam bahasa Mandarin Tamil dan Inggeris.

Guan Eng berkata demikian ketika mengulas kenyataan ahli jawatankuasa MCA pusat, Datuk Seri Ti Lian Ker yang meminta kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Rakyat supaya menggunakan kuasa mereka meminda enakmen negeri masing-masing yang melarang penganut agama lain di Selangor dan Pulau Pinang dari menggunakan kalimah Allah dan perkataan-perkataan lain yang berkaitan dengan agama Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.