Beri Saya Peluang – Piya

Kuala Lumpur – Pemain kelahiran Kelantan yang mencipta sensasi dengan debut antarabangsa pertamanya bersama pasukan Malaysia, Mohd Badhri Radzi atau dikenali sebagai Piya percaya beliau boleh membantu Malaysia untuk merampas kembali kejuaraan Piala AFF Suzuki, edisi kali ini.

Dipetik daripada portal berita Foxsportasia.com, beliau berkata : “Saya harap jurulatih akan memberikan saya peranan untuk bermain di final supaya saya boleh membantu pasukan untuk menuntut semula mahkota AFF Suzuki Cup yang lepas kami menang pada tahun 2010.

“Keyakinan saya semakin meningkat setelah membuat debut pertama untuk pasukan kebangsaan… tetapi saya perlu lebih banyak peluang untuk lebih meningkatkan (prestasi) di peringkat antarabangsa,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata mereka yakin pasukan negara mampu muncul juara Piala AFF Suzuki.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin kepada portal berita sukan berkenaan, skuad Malaysia mampu menumbangkan pemenang empat kali Piala AFF Suzuki, Thailand dan muncul selaku juara edisi kali ini.

“Saya berharap Harimau Malaya tidak akan terlepas peluang untuk menang kali ini. Saya telah menegaskan kepada pemain, bahawa perjuangan kita bukan setakat ini sahaja.”

Beliau menambah: “Ambil kesempatan daripada perlawanan di tempat sendiri di Kuala Lumpur untuk memenangi Piala AFF.”

Malaysia akan berdepan Thailand dalam perlawanan final yang diadakan secara timbal balik, dengan pusingan pertama 17 Dis di Bangkok dan 20 Dis di Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.