Anak Anggota Polis Yang Tterkorban Di Bukit Kepong Sifatkan Mat Sabu Pengkhianat

Kuala Lumpur – Anak perempuan kepada seorang anggota polis yang terkorban dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong menganggap Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sebagai pengkhianat.

Azlas Jaafar, 65, memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini bahawa kenyataan oleh Mohamad Sabu, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu bahawa pemberontakan komunis di Bukit Kepong sebagai perjuangan bagi mencapai kemerdekaan yang sebenar adalah satu penghinaan kepada 25 anggota polis dan keluarga mereka terkorban dalam kejadian itu.

“Mat Sabu adalah pengkhianat. Saya tidak mendengar apa yang dia (Mat Sabu) berkata dalam ucapannya, tetapi dari apa yang saya tahu (dari orang lain), dia menghina anggota polis, termasuk Allahyarham ayahanda saya (Konstabel Jaafar Hassan),” kata Azlas yang berkerusi roda ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani.

Razali bertanya bagaimana dia mendapat tahu mengenai kenyataan Mohamad mengenai serangan Bukit Kepong.

Turut hadir bagi pihak pendakwaan dalam kes itu adalah Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abd Karim.

Manakala Mat Sabu berada di kandang tertuduh kerana didakwa memfitnah 25 anggota polis yang terkorban dalam serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Johor pada tahun 1950.

Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa anggota komunis yang diketuai oleh Ahmad Indera, atau lebih dikenali sebagai Mat Indera, adalah pejuang kemerdekaan sebenar dalam peristiwa Bukit Kepong, semasa berucap di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang menora, di Tasik Gelugor, Pulau Pinang, pada 21 Ogos, 2011.

Kenyataan beliau menimbulkan kemarahan, terutama di kalangan ahli keluarga anggota polis Bukit Kepong dan banyak laporan polis dibuat terhadapnya oleh persatuan-persatuan bekas anggota polis, individu dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Perbicaraan kes itu diadakan di Mahkamah Sesyen Butterworth, tetapi terpaksa dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana keadaan kesihatan Azlas, yang merupakan saksi pendakwaan ke-10.

Kepada soalan peguam Mat Sabu, Mohamed Hanipa Maidin, sama ada dia beliau ada membuat laporan terhadap Mat Sabu, Azlas yang buta huruf berkata beliau dibantu jirannya untuk berbuat demikian.

Apabila ditunjukkan satu salinan laporan itu, Azlas berkata tandatangan pada laporan itu bukan miliknya.

Mat Sabu juga berhadapan dengan tuduhan memfitnah anggota polis Marin Konstabel Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Yusoff Rono serta keluarga mereka, pada masa tarikh dan tempat yang sama.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi kemudian menetapkan 6 Jan depan untuk meneruskan pendengaran kes itu dengan saksi berikutnya di Mahkamah Sesyen di Butterworth.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.