AFC Ambil Alih Kes Penyokong Bertindak Ganas Di Separuh Akhir Piala AFF 2014

Kuala lumpur – Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan mengambil alih kes kegagalan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengawal penyokong, pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Shah Alam, 7 Disember lalu.

Kes tersebut sebelum ini di bawah siasatan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) yang juga penganjur kejohanan dwitahunan itu.

Segelintir penyokong Malaysia bertindak liar, dengan mencederakan beberapa penyokong Vietnam, selepas perlawanan berakhir dengan keputusan Malaysia tewas 1-2 kepada Vietnam.

Setiausaha AFF, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak AFC bahawa mereka akan mengambil alih kes itu dan FAM dikehendaki menghantar surat tunjuk sebab, bagi menjelaskan perkara berkenaan kepada AFC, pada Isnin ini.

“Kita (AFF) tidak boleh campur tangan lagi, memandangkan bidang kuasa AFC lebih besar, kerana badan tersebut mewakili 46 ahli daripada negara-negara Asia, walaupun AFF ada menghantar notis surat tunjuk sebab kepada FAM pada 9 Disember lalu,” katanya pada Sabtu.

Azzuddin berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada FAM.

Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya, FAM mungkin dikenakan hukuman denda atas kesalahan itu.

“Saya tidak fikir AFC akan mengambil tindakan lebih berat, sehingga Malaysia dipaksa beraksi dalam keadaan stadium kosong tanpa peminat, pada perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki menentang Thailand, di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 20 Disember nanti.

“Ianya merupakan kesalahan tidak serius, jika dibandingkan kes lain yang membabitkan pergaduhan lebih besar,” kata Azzuddin.

Tindakan liar segelintir penyokong Malaysia baru-baru ini mendapat perhatian luas, termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang memandang serius perkara itu.

Khairy sebelum ini meminta maaf kepada penyokong Vietnam atas tindakan liar penyokong Malaysia yang mencederakan penyokong negara itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.