Video: Aziz Bari Dakwa Tidak Tahu Isu Video Viral Mahu Jatuhkah MB Perak

IPOH – Saya tak tahu, saya tak tengok. Saya tak ada masa nak tengok, itu penjelasan Exco Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Dr Abdul Aziz Bari berhubung isu video tular yang dikaitkan dengannya hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima beberapa video tetapi hanya video dari sumber rasmi sahaja akan dilihat.

Menurutnya, jika video yang dimaksudkan berkaitan isu untuk menjatuhkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, ia sudah pun dijawab sebelum ini dan sengaja ditimbulkan pihak tertentu berikutan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan berlangsung esok.

“Video-video yang dibuat oleh orang-orang tak rasmi, yang tak tahu siapa buat ini saya tak dengar pun. Jadi jangan tanya pasal ini. Cuma seingat saya benda ini dah lama Disember tahun lepas atau awal tahun ini. Jadi benda ini bukan barulah tapi benda yang dah diulas dan saya fikir tak perlu ulas lagi.

“Jadi saya berasa hairan setiap kali sidang DUN ada sahaja isu seperti ini timbul dan seolah-olah nak memprovok kami terutama DAP untuk melatah dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada perasmian Expo Antarabangsa Perak (PIEX) di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai penularan video yang dimuat naik ke dalam Facebook memperlihatkan perbincangan seorang individu dipercayai bersama beberapa individu lain mengenai usaha untuk menjatuhkan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, terdapat gerakan tertentu yang digerakkan setiap kali sidang DUN untuk menimbulkan isu seperti rampasan kuasa, menjatuhkan menteri besar dan sebagainya.

Rakaman Video Naib Pengerusi DAP Perak, Aziz Bari & Perancangan Jadi MB Perak

Rakaman video Naib Pengerusi DAP Perak, Aziz Bari berkongsi rancangan politik berkaitan jawatan MB Perak.Video kredit: MalaysiaToday

Posted by Suara.TV on Thursday, November 14, 2019

Katanya, isu berkaitan usaha untuk menjatuhkan menteri besar merupakan isu lama dan tidak berlaku pun perkara itu tetapi sengaja dimainkan semula.

Malah menurutnya, ketika isu ini hangat diperkatakan, pihaknya pernah mengemukakan permohonan untuk mengadakan pertemuan dengan Ahmad Faizal melalui Pejabat Menteri Besar Perak seterusnya mengadakan sidang media bersama tetapi sehingga kini masih tiada jawapan.

“Tak berlaku pun undi tidak percaya ke apa, orang kena culik ke, tak ada. Isu berkaitan menteri besar ini dah dalam dah, kenapa dimainkan lagi, nak menjatuhkan macam mana? Semua (usaha menjatuhkan menteri besar) tak berlaku, video ke, rakaman ke, kalau benda tak berlaku nak diputar belit buat apa lagi.

“Saya tak peduli pun benda ini. Apa yang penting kerajaan masih wujud dalam satu gabungan. Soal menteri besar ini keputusan pimpinan pusat. Apa lagi nak disibukkan lagi ni?,” katanya lagi.

Sementara itu, Abdul Aziz menegaskan beliau tidak mempunyai kuasa menentukan pelantikan menteri besar.

Beliau berkata, walaupun mendapat sokongan sekalipun menjadi menteri besar tetapi tidak dipersetujui oleh pimpinan di peringkat pusat ia tidak akan berlaku. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!