“Waspadalah, Hari Ini Lebih Banyak Lalang Dari Padi,” Khir Toyo Nasihat Dr Mahathir

SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo menasihatkan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya berhati-hati dengan orang sekelilingnya yang ‘lebih petah di mulut, tetapi kosong dalam tindakan’.

Menulis di Facebook, Mohd Khir merujuk kepada barisan menteri yang pada pendapat beliau gagal menunjukkan prestasi yang baik di mana sehingga kini tiada arah tuju yang jelas dan perubahan positif semenjak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Barisan Nasional (BN).

“Tun M dikelilingi pak menteri yang hebat di mulut tetapi kosong tindakan. Cakap lain buat lain. Hasilnya haru biru. Kemudian pegawai dipersalahkan. Pak menteri cuci mulut, kaki dan tangan.

“Bila pegawai susun cadangan dan dasar baharu, pak menteri tolak mentah-mentah. Kadang-kadang tak baca pun.

“Yang keluar dari mulut mereka ini polisi kerajaan lama dan ‘kami PH ada cara kami untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat’.

“Natijahnya, hingga ke hari ini tiada perkara baharu yang mereka lakukan kecuali mengulangi polisi lama dengan jenama baharu,” tulisnya.

Mohd Khir juga berkata, apa yang dizahirkan Perdana Menteri itu sebelum ini  kononnya ada pegawai kerajaan mensabotaj kerajaan PH kerana masih setia dengan BN yang menjadi punca PH gagal melakukan transformasi, adalah tidak tepat.

“Melalui pengalaman saya, majoriti pegawai Kerajaan di negara ini memiliki kualiti pengetahuan yg sangat baik dan tahap profesionalisme jauh lebih tinggi waima jika dibandingkan dgn pegawai Kerajaan negara maju.

“Mereka selalunya akan melakukan yg terbaik semampu yg mereka boleh, Jika mereka menerima arahan yg jelas dan visi yg mereka kongsi bersama,” kata beliau.

Sebaliknya kata Mohd Khir, kegagalan kerajaan PH itu adalah berpunca daripada kewujudan menteri yang ‘lebih petah di mulut, tetapi kosong dalam tindakan’.

Justeru katanya, Dr Mahathir perlu waspada kerana apa yang berlaku ketika ini dalam pentadbirannya digambarkan seperti lebih lalang daripada padi.

“Dr Mahathir, waspadalah apa yang ada di sekeliling. Hari ini lebih banyak lalang dari padi. Depan mereka, bercakap petah menyalahkan orang lain bagai lalang tegak tinggi lakunya.

“Kerana mereka tak mampu jadi padi, maka padilah dipersalahkan. Mengapa ada padi di bendang sedang lalang tumbuh merata?” katanya.

Mohd Khir berkata, Dr Mahathir juga harus menyedari bahawa kebanyakan daripada kakitangan kerajaan khususnya, mengharapkan kehebatan Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri keempat dapat diterapkan pada ketika ini.

Bagaimanapun apa yang diharapkan oleh mereka, tidak menjadi kenyataan di mana Dr Mahathir pada hari ini bukanlah individu sama ketika menerajui BN.

“Sebenarnya sejak PH menjadi kerajaan dan Dr Mahathir diangkat semula menjadi Perdana Menteri, mereka rindu dengan kepimpinan Dr Mahathir yang mereka kenal dulu iaitu dasar Bersih, Cekap, Amanah dan penerangan nilai-nilai Islam serta dasar Pandang ke Timur menjadikan mereka cukup taksub dan sanggup bekerja lebih masa tanpa tuntutan elaun tambahan.

“Harapan menggunung itu kini hancur bila mereka sedar Dr Mahathir hari ini jauh sekali berbeza dengan Dr Mahathir dahulu,” katanya. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.