Suhakam Kritik Putrajaya Kelirukan PBB Berkaitan ‘Khatan’ Wanita

PETALING JAYA: Putrajaya dikatakan memberi penjelasan yang tidak meyakinkan dan mengelirukan dalam Laporan Berkala Sejagat (UPR) kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai amalan “berkhatan” melibatkan wanita di negara ini.

Presiden Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Suhakam), Tan Sri Razali Ismail berkata wakil dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berbuat demikian ketika mereka membela amalan tersebut pada pembentangan di Geneva, Switzerland, minggu lalu.

“Ketidaktepatan kerajaan dalam pembentangan laporan itu menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Kedudukan yang tidak jelas oleh kerajaan dalam menerangkan FGM (mutilasi alat kelamin wanita) sebagai budaya Malaysia berpotensi merosakkan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Razali menambah, pihaknya juga kesal dan kecewa terhadap pendirian kementerian itu mengenai isu “berkhatan”.

“Suhakam sangat kecewa dengan tindak balas yang tidak meyakinkan dan mengelirukan oleh wakil Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bahawa FGM tidak diamalkan di Malaysia,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan wakil Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika membentangkan UPR kepada PBB berkata, FGM tidak diamalkan di Malaysia tetapi berlaku untuk bayi kerana nilai budaya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.