“Saya Konsisten Dengan Manifesto PH,” Respon Maszlee Selepas GAMIS Serah Memorandum Isu PTPTN

SHAH ALAM – Selepas perarakan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum berhubung isu PTPTN hari ini, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik memberi jaminan pihaknya akan berusaha   sebaik mungkin untuk melunaskan janji manifesto berhubung perkara itu.

Menulis di Facebook, Maszlee bagaimanapun berkata kementeriannya akan memberikan pertimbangan mengikut kepada keadaan ekonomi negara bagi menyelesaikan isu yang berkait dengan PTPTN.

“Insyaallah segala input yang diberikan oleh mana-mana pihak berkaitan isu PTPTN ini akan kita berikan pertimbangan mengikut kepada keadaan ekonomi negara. 

“Saya konsisten dengan manifesto PH berkenaan PTPTN dan kita akan usahakan yang sebaik mungkin,” tulis beliau.

Terdahulu sekumpulan mahasiswa GAMIS berarak sejauh 9 km dari Universiti Malaya ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum isu PTPTN. 

Namun hasrat mereka untuk bersemuka dengan Maszlee tidak kesampaian apabila menteri itu hanya diwakili pegawai khasnya, Abdul Hannaan Khairy untuk menerima memorandum tersebut.

Sementara itu, status Maszlee mengenai perkara itu dihujani komen netizen yang mempertikaikan jaminan beliau untuk mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu tersebut.

Tambahan pula Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan baru-baru ini meminta maaf kerana PH gagal menunaikan janji mengurangkan beban peminjam dengan membenarkan penangguhan pembayaran balik pinjaman bagi mereka yang mendapat gaji bulanan bawah RM4,000.-SuaraTv

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.