ICERD: Rakyat Perlu Junjung Titah Sultan

SHAH ALAM – Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan pemimpin tertentu tidak menyokong gerakan liberalisme seharusnya diberi perhatian pihak pimpinan negeri dan rakyat Selangor.

Ketua Umno Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shari berkata, dalam negeri dan negara majoritinya orang Melayu beragama Islam, pemimpin yang dipilih rakyat sepatutnya menghormati hak majoriti seperti tertulis di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pegangan umat Islam di Malaysia juga amat jelas iaitu kepada Mazhab Shafie Ahli Sunnah Wal Jamaah. Apabila ada pihak liberal Islam disokong pemimpin tertentu sama ada beragama Islam atau tidak, seharusnya kita menilai kepimpinan mereka. Adakah pemimpin begini menyokong berlandaskan hukum atau populariti semata-mata?

“Seperti titah baginda, Selangor tidak sepatutnya menjadi pusat penyebaran ideologi dan fahaman sesat sedemikian. Baginda juga mahu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memantapkan penguatkuasaan terhadap semua pihak yang cuba menyebarkan sebarang bentuk ajaran Islam atau difatwakan sesat dan menyeleweng,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Menurutnya, Umno Bahagian Shah Alam sejak dari awal tetap dengan pendirian membela hak istimewa orang Melayu serta Bumiputera, selain melihat umat Islam dan orang Melayu sewajarnya mengambil perhatian terhadap titah baginda berkaitan isu liberalisme itu.

“Sebelum ini ada pemimpin kerajaan yang menganggap ketuanan Melayu sudah tidak wujud. Ini semua cakap-cakap orang berfikiran cetek yang hanya melihat roh Melayu dari sudut material dan bukannya roh agama Islam dan jati diri kita sebagai orang Melayu yang beribu tahun sudah wujud di negara ini.

“Jangan dijolok sarang tebuan kerana hanya padah yang menanti. Mari kita siapkan benteng melindungi hak kita sebagai umat Islam di negeri ini,” katanya.

Justeru, katanya rakyat seharusnya menentang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana ia akan menggugat hak dan keistimewaan Melayu, Bumiputera serta institusi Diraja.

“Menjunjung titah baginda agar fahaman liberal tidak terus berakar di negeri ini, dan kepada pemimpin yang menyokong fahaman tersebut anda tidak diperlukan di negeri ini,” katanya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.