Hukuman Setimpal Ganti Hukuman Gantung – KP AADK

PADANG BESAR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyarankan hukuman yang setimpal perlu dilaksanakan bagi mengganti hukuman mati mandatori sekiranya hukuman itu dimansuhkan bagi kesalahan penyalahgunaan dadah.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, kerajaan perlu meneliti hukuman yang bersesuaian bagi menggantikan hukuman terbabit dan mengikut kategori penyalahgunaan dadah.

“Tidak semua kesalahan yang membabitkan penyalahgunaan dadah akan dikenakan hukuman mati mandatori.

“Cuma kita berharap pelaksanaan hukuman yang baharu nanti betul-betul setimpal dan padan dengan kesalahan yang dilakukan oleh penjenayah kes dadah,” katanya ketika ditemui hari ini di Tapak Projek Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Bukit Chabang.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan masih mempertimbangkan sama ada meneruskan keputusan memansuhkan hukuman mati mandatori atau sebaliknya.

Wan Azizah berkata, ini kerana kerajaan tidak mahu mana-mana orang yang tidak bersalah dikenakan hukuman mati mandatori.

Zulkifli berkata, pihaknya percaya perbincangan yang terperinci mengenai hukuman baharu sedang dilakukan oleh kerajaan.

“Kita berharap keputusan oleh kerajaan nanti tidak menjejaskan usaha AADK dalam membanteras jenayah penyalahgunaan dadah,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kedudukan Perlis berada di tangga keempat tertinggi dalam jenayah penyalahgunaan dadah, beliau tidak menolak kemungkinan faktor negeri ini yang berdekatan dengan sempadan Thailand menyumbang pada peningkatan jenayah terbabit.

“Kalau kita tengok, penempatan nelayan di Kuala Perlis antara empat kawasan yang diletakkan dalam zon merah atau panas selain Kangar, Arau dan Simpang Empat.

“Jadi tokan dadah ini menyasarkan kawasan penduduk yang majoritinya melakukan kerja berat seperti nelayan dan buruh perladangan sebagai sasaran pelanggan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.