Dr. Mahathir Sedia Laksana Rombakan Kabinet

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sedia melakukan rombakan Kabinet susulan berakhirnya Pemilihan PKR, kelmarin.

Dalam temu bualnya bersama akhbar Singapura, The Straits Times, Dr. Mahathir tidak menolak berlakunya pertukaran anggota Kabinet jika PKR mahu mengemukakan calon-calon tertentu daripada parti tersebut.

“Mereka boleh menghantar nama, mereka boleh mengetengahkan hal mereka. Saya juga mempunyai pandangan tersendiri.

“Secara prinsipnya, Kabinet ini dipengerusikan oleh saya sebagai Perdana Menteri dan memerlukan orang yang saya selesa. Jadi sama ada saya menerima calon-calon daripada mereka, ia bergantung kepada saya untuk memutuskannya,” katanya dalam temu bual tersebut yang disiarkan hari ini.

Perkara itu ditanya ekoran wujudnya spekulasi berlaku rombakan Kabinet, terutama melibatkan beberapa menteri yang dikritik hebat, selain Dr. Mahathir sendiri menyatakan beliau tidak pernah berpuas hati dengan pencapaian dan prestasi barisan jemaah menteri sejak dilantik memegang portfolio masing-masing.

Pada masa sama, Dr. Mahathir turut mengulangi komitmen untuk menyerahkan kedudukan Perdana Menteri kepada bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepertimana yang telah dipersetujui oleh Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Tetapi dengan mengandaikan rakyat mahu menyatakan pandangan mereka sendiri, maksud saya sebagai sebuah negara demokrasi, kita perlu mendengar pandangan rakyat.

“Jika anda meletakkan seorang Perdana Menteri yang tidak diterima baik oleh rakyat, ia menimbulkan masalah,” katanya.

Laporan The Straits Times menyedari hasil Pemilihan PKR kali menunjukkan kebanyakan pemimpin dalam parti itu kini dikuasai oleh orang yang rapat dengan penyandang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dengan memetik sumber PKR yang tidak dinamakan, kemenangan kem Mohamed Azmin yang begitu meyakinkan itu membuatkan Anwar mungkin perlu ‘mengadakan perjanjian’ dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi tersebut bagi memastikan kestabilan parti. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.