PBMM Perkenal Saingan Piala TMJ 2018

Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) memperkenalkan pertandingan baharu berformat kalah mati Piala Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada tahun depan.

Timbalan Presidennya, Mohd Firdaus Mohamed berkata, Piala TMJ yang mirip Piala FA dalam Liga Malaysia itu melibatkan kesemua negeri di Semenanjung, Angkatan Tentera dan Polis Diraja Malaysia yang menjadi ahli gabungan badan induk itu.

“Kami turut akan mengundang beberapa pasukan luar termasuk mungkin Sabah dan Sarawak bagi memeriahkan Piala TMJ sekali gus menjadikannya lebih berdaya saing,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan PBMM, lapor Sinar.

Katanya, Piala TMJ turut menyahut wawasan Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk merakyatkan bola sepak tempatan apabila beliau mengumumkan penubuhan Divisyen Empat, baru-baru ini.

PBMM setiap tahun mengelolakan dua pertandingan, Piala Emas Raja-Raja (PERR) yang berformat karnival liga empat kumpulan dan kalah mati serta Piala Agong, perlawanan pembuka tirai menemukan penyandangnya dengan juara PERR.

PERR yang hampir sebaya Piala Malaya (kini Malaysia) memasuki edisi ke-77 dimenangi Pulau Pinang, Sabtu lalu dengan menewaskan Kelantan 2-1 di Kota Bharu.

Saingan PERR yang bermula 20 September lalu turut mengundang lima pasukan bukan ahli gabungan PBMM seperti Putrajaya, Felda United, DBKL, MCFA dan Penjara FC serta Singapura.

Piala Agong 2017 pula yang menjadi milik Pahang selepas menewaskan Negeri Sembilan 4-3 di Kuantan pada 12 September lalu, diperkenalkan mulai 1962.

“PBMM selain itu masih perlu mengkaji kesesuaian tarikh dan jadual perlawanan kesemua pertandingan kelolaan kami agar tidak bertindan dengan Liga Malaysia (Liga Super dan Perdana, Liga FAM dan Piala Malaysia),” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.