Calon Bukan Islam Tanding Atas Tiket PAS Wajib Angkat Sumpah Taat Setia

SHAH ALAM – PAS akan mewajibkan calon bukan Islam yang bertanding atas tiket parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) melafazkan sumpah taat setia kepada parti berteraskan Islam itu.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata bahawa pada PRU14, calon bukan Islam dikehendaki mengangkat sumpah taat setia atau aku janji, lapor Antarapos.

“Pertamanya, lafaz bai’ah akan diteruskan bukan sahaja kepada calon-calon PAS yang beragama Islam malah turut dikenakan kepada calon-calon bukan beragama Islam yang bertanding atas tiket PAS,” katanya kepada Antarapos.

Jelas beliau, tiada calon yang akan dikecualikan daripada melafazkan sumpah taat setia berkenaan yang menjadi tunjang kekuatan PAS.

“Itulah yang akan berlaku dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Isu ba’iah PAS  menjadi topik hangat apabila wujud dalam kalangan wakil rakyat PAS bertindak keluar parti dan menubuhkan parti baru yang dinamakan Amanah.

Perkembangan terbaru ini memperlihatkan PAS mahu memastikan calon yang bertanding mewakili parti itu kekal wala’ kepada kepimpinan dan juga parti itu sekiranya memenangi PRU14 nanti.

Mengulas lanjut, Hashim berkata bahawa Majlis Syura Ulama PAS selaku badan tertinggi dalam parti itu akan menentukan kandungan sumpah taat setia berkenaan.

“Kemungkinan orang bukan Islam yang akan bertanding atas tiket PAS, mereka juga dikehendaki mengadakan aku janji atau bai’ah dengan pihak PAS.

“Mungkin susunan ayat itu berbeza dengan yang Islam,” katanya.

Ditanya, sekiranya perkara ini turut melibatkan calon daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), beliau mengiakan perkembangan terbaru itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.