Video: Najib Tegur UMNO, Ubah Sikap ‘Cantas-Sekat’ Untuk Tarik Golongan Profesional

Johor Bahru – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegur sikap segelintir pemimpin parti itu mencantas bakat muda dan golongan profesional yang menyertai UMNO dan memberi sumbangan kepada parti.

Kata Najib, tindakan itu tentunya sesuatu yang tidak baik dan akan menyebabkan golongan muda serta profesional yang berpotensi, menjauhkan diri daripada UMNO.

“Perjuangan dalam parti bukan soal peribadi, tetapi yang penting kelangsungan kuasa parti kita.

“Bila sebut pasal bakat, kita perlu cari orang baru, berwibawa, ada kebolehanan, tetapi kalau hendak naik tangga dalam UMNO kena cantas, kena halang, kena sepak, mana orang muda hendak masuk dalam parti.

“Apa guna kita menang Ketua Bahagian, kalau (bertanding dalam pilihan raya peringkat) Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) kita kalah,” tegurnya ketika berucap merasmikan Konvensyen UMNO Johor, pada Jumaat.
Menurut Najib, UMNO perlu membuka ruang kepada orang luar untuk mendekati parti itu, bukannya menjadikan parti itu hak milik eksklusif.

Beliau turut meminta pemimpin UMNO yang sudah berusia supaya berundur dan memberi laluan kepada orang baru untuk mencurahkan bakti dan khidmat mereka.

“Kita kena buka UMNO ini secara inklusif. UMNO perlu dibuka, cari bakat baru dan kita didik dia, bagi peluang hatta kita terpaksa berundur pun tidak apa.

“Atau kita rasakan diri sudah sampai ‘senja’, bagilah peluang kepada orang lain, barulah parti kita bertenaga.

“Biar orang muda lihat parti UMNO ini dinamik, segar, hargai mereka yang berwibawa,” ujarnya.

Najib mengingatkan, realiti kesetiaan dalam mana-mana parti, termasuk UMNO kini tidak seperti suatu ketika dahulu, di mana pemimpin bawahan sentiasa akur.

“Kalau dulu senang, orang kata jangan bertanding, tidak bertanding; orang kata bagi laluan, bagi; minta tunggu sepenggal, dia tunggu,” katanya pada konvensyen bertema ‘Di Sini Lahirnya UMNO’ yang dihadiri 850 perwakilan dari seluruh Johor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.