Video: Penolakkan Terbuka Terhadap UMNO Semakin Ketara – Khaled Nordin

Johor Bahru – Rakyat Malaysia semakin kurang minat untuk menyertai parti politik walaupun kesedaran politik meningkat, kata Datuk Seri Mohamad Khaled Mohamad Nordin.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu berkata, penolakkan terbuka termasuk bangsa Melayu terhadap parti itu semakin ketara.

“Prestasi kita dalam dua Pilihanraya Umum yang lepas adalah petunjuk terbaik dan harus segera menjadi pengajaran berguna.

“Benar kita punyai tiga juta ahli tetapi adalah juga benar yang kebanyakan ahli kita adalah hanya pada keahlian.

“Dan ramai yang menyertai UMNO bukan lagi kerana perjuangan tetapi sebagai instrumen politik untuk pengaruh, kuasa, prestij dan kekayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Konvensyen UMNO Johor 2014 di sini.
Kata Khaled, perkara ini perlu diberi perhatian serius sebelum prasangka negatif yang ada pada generasi muda ketika ini semakin menebal.

Sehubungan dengan itu, kata Khaled satu transformasi perlu dilakukan segera bagi memastikan UMNO terus kekal relevan.

“Kita kena merancang dan mengurus perubahan tersebut secara strategik, bijaksana dengan ilmu, dengan akal yang panjang serta kolektif.

“Jika ini pilihan kita, maka jalannya ialah pengislahan dan memodenkan UMNO.

“Kita mesti akur bahawa UMNO termasuk UMNO Johor memerlukan suatu transformasi dan bukannya perubahan kosmetik yang bersifat luaran semata-mata,” ujarnya.

Konvensyen yang bertemakan ‘Di Sini Lahirnya UMNO’ dihadiri 850 perwakilan dari seluruh Johor.

 

4 Pendekatan Untuk Perubahan Yang UMNO Mesti Pertimbangkan

Pertama: Kita mesti akur bahawa UMNO termasuk UMNO Johor memerlukan suatu transformasi dan bukannya perubahan kosmetik yang bersifat luaran semata-mata. UMNO mesti berfikir di luar norma kebiasaan. Parti harus diurus dan tampil menjadi pergerakan yang lebih canggih, dipimpin oleh pemikiran termaju serta dengan pendekatan bersederhana.

UMNO harus bangkit dan tampil menjadi pergerakan politik sezaman, berprinsip dan inklusif. ‘Constituents’ UMNO bukan lagi hanya ahlinya, tetapi masyarakat Melayu dan Malaysia secara keseluruhan. ‘Constituents’ yang pelbagai dan kompleks ini harus diurus dengan bijak dan menuntut keterbukaan. Yang rencam itulah yang bakal membuahkan penyelesaian terbaik dan berhikmah. Hanya pergerakan politik yang bersifat sezaman dan mendukung pemikiran termaju akan dapat mengurus kepelbagaian ini dengan kematangan dan membuahkan kejayaan.

Kedua, kita mesti gigih berikhtiar dan meyakinkan generasi muda Melayu dan Malaysia bahawa mereka boleh mempercayai dan menyakini UMNO. Dan UMNO seterusnya akan mendengar dan menyahut aspirasi mereka. Untuk diyakini, UMNO mesti mempunyai pelan, idea, strategi dan dasar yang jelas dan pragmatik, bertindak balas terhadap semua permasalahan orang Melayu, rakyat Malaysia dan Negara dengan segera dan bersesuaian.

Lalu dasar dan strategi kita tentang pendidikan kena jelas. Dasar kita mengenai agihan ekonomi perlu realistik. Dasar kita tentang kesihatan mesti boleh diterjemahkan dalam perkhidmatan kesihatan terbaik, setanding dengan negara maju. Dasar kita tentang perumahan tidak akan sama sekali meminggirkan mana-mana golongan. Dasar kita tentang Islam mesti mengambil kira kemajmukan Malaysia. Dan kita mesti telus, terbuka dan rasional dalam semua dasar pro-Melayu dan pro-Bumiputera.

Tidak cukup dengan itu, semua yang kita ketengahkan dan perjuangkan, impaknya mesti boleh terlihat, boleh diukur dan berorientasikan pencapaian. Semua ini penting kerana ‘constituents’ kita sangat bermaklumat, mempunyai kesedaran politik yang tinggi serta mendambakan perubahan nyata. Mereka tidak lagi boleh diolokkan-olokkan dengan retorik politik dan kebangsaan.

Saya sangat berkeyakinan, jika semua dasar dan pelan kita dihurai dan dirungkai dengan baik, maka kefahaman yang lebih jelas akan dapat ditanam. Nescaya UMNO akan dilihat konsisten dan mempunyai agenda yang jelas dan terancang. Hanya dengan itu, ketidakpercayaan yang membusut akan dapat kita tukar menjadi keyakinan yang menggunung.

Ketiga, UMNO memerlukan mekanisme baharu dalam menggerakkan demokrasi dengan cara yang selari dengan kedinamikan abad ke 21. Kita perlu menyusur denai yang akan membawa kita untuk menghubungkan semula orang Melayu dan rakyat Malaysia dengan idealisme politik dalam era yang menyaksikan idealogi politik mula menjadi sesuatu yang jijik dan memualkan.

Salah satu jalannya ialah menggunakan teknologi digital dan media sosial untuk menjadikan UMNO lebih demokratik dan inklusif. Proses membuat keputusan, menjalankan gerak kerja dan menyelesaikan semua masalah rakyat mestilah didemokrasikan melalui teknologi.

Media sosial dan rangkaian teknologi ini harus menjadi instrumen dan wahana parti untuk ‘resonates’ dan mendengar suara hati rakyat yang terkesan dengan tindakan dan keputusan kita. Dan apa juga yang kita lakukan di Cawangan, Bahagian, Pemuda, Wanita Dan Puteri, perlu mengeksploitasi kelebihan media sosial sebagai medium mendapat maklum balas dan idea-idea yang segar, baharu dan relevan. Ia juga harus jadi medium mengukur impak dan kejayaan sesuatu tindakan dan sumbangan kita.

Keempat, jalan pembaharuan untuk UMNO mesti berorientasikan perkhidmatan sivik. Perkhidmatan sivik ini adalah fungsi yang selalu dilupakan dalam keghairahan kita mengekal kuasa dan meluas pengaruh. Ia telah dikesampingkan kerana kita selesa dengan kuasa. Pada kita, UMNO adalah Kerajaan dan Kerajaan adalah UMNO.

Kesannya, komponen ‘civic service’ sangat diabaikan dalam UMNO yang semakin menua. Ramai beranggapan ini bukan tugas UMNO tetapi adalah tanggungjawab Kerajaan. Perkara ini telah menyebabkan umat Melayu tidak mampu melonjak sebagai bangsa yang boleh berjaya dengan sendiri. Sindrom terlalu menunggu dan mengharap semuanya dari pemerintah dan dari orang lain sangat melemahkan orang Melayu.

Berbanding dengan komuniti kaum Cina yang berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan pemerintah. Masyarakatnya sangat berinisiatif dan sarat dengan daya gerak sendiri untuk memajukan kaumnya. Lihatlah pelbagai institusi dan organisasi masyarakat mereka yang diwujudkan dan dibiayai oleh mereka sendiri.

Sebab itulah bila kita tewas di Kelantan, Kedah dan Selangor, bila kita gagal membentuk Kerajaan, kita tercari-cari ruang untuk memainkan peranan yang efektif dalam masyarakat. Kita hilang punca seolah-olah kita sudah tidak boleh menyumbang melainkan dengan hanya menjadi kerajaan.

Oleh yang demikianlah, UMNO mesti mengukuhkan kedudukannya melalui strategi berorientasikan perkhidmatan sivik. Ia harus berinteraksi lebih luas dengan pelbagai segmen masyarakat melalui rangkaian perkhidmatan sivik ini. Dan ia harus dilakukan secara berterusan dan bukan bermusim. Ia harus terus dilakukan walaupun ketika UMNO tidak terpilih menjadi kerajaan. Jadilah UMNO yang memberi tanpa musim, yang meminta jarang sekali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.