Amaran Angin Kencang, Laut Bergelora Hingga Ahad

Kuala Terengganu – Amaran angin kencang dan laut bergelora di perairan Terengganu dijangka berterusan sehingga Ahad dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.

Hujan lebat sekejap-sekejap berserta angin kencang juga dijangka berterusan di Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Kuala Terengganu dan Dungun yang akan membahayakan bot-bot kecil.

Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Roslina Ngah, berkata keadaan itu juga dijangka membawa angin timur laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam.

“Semua stesen data taburan hujan negeri Terengganu menunjukkan purata hujan yang turun adalah normal iaitu antara 1 hingga 80 milimeter kecuali di stesen Sultan Omar di Dungun yang melebihi paras amaran.

“Taburan hujan setakat ini tertumpu di sekitar kawasan pantai terutama di daerah Dungun manakala kebanyakan tempat lain mengalami hujan sederhana dan cuaca mendung,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rekod bacaan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), setakat 8.30 pagi tadi juga menunjukkan paras air di sungai utama negeri masih berada di tahap normal kecuali Sungai Chalok dekat Setiu yang menunjukkan peningkatan sejak semalam.

Namun, keadaan masih tidak membimbangkan.

“Tiada amaran banjir dikeluarkan setakat ini, namun semua jabatan dan agensi di peringkat negeri dan daerah yang terlibat persediaan banjir telah dimaklumkan untuk bersiap siaga,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.