“Secara Peribadi Ia Juga Satu Kemenangan”, Respon Saiful Selepas Tewas PRK PD

SHAH ALAM – Calon Bebas, Saiful Bukhari Azlan berkata beliau menerima keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson dengan hati yang terbuka. 

Ujarnya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, beliau akur dengan pilihan rakyat yang berhak membuat keputusan tanpa sebarang paksaan.

“Meskipun tidak diangkat sebagai wakil rakyat, namun, bagi saya secara peribadi ia juga satu kemenangan kerana sebagai calon bebas, ini adalah pilihanraya pertama saya.

“Saya bermula dari kosong, tanpa akar umbi, hanya mempunyai 12 orang jentera, dan sumber kewangan yang terhad. Namun, saya, bersama pasukan saya berjaya mengharungi kempen pilihanraya ini sehingga ke garisan penamat, tanpa seorang pun tumpas,” katanya dalam satu  hantaran di laman sosial Facebook.

Saiful merupakan bekas pembantu Anwar yang mendakwa diliwat ‘bos’ beliau pada Jun 2008. Pada Februari 2015, Anwar dihukum penjara selama lima tahun atas tuduhan liwat tersebut.

Dalam pada itu tambah Saiful, sungguhpun tewas, ia bukanlah penamat kepada perjuangan beliau. 

“This is not the end, Perjalanan saya sebenarnya baru sahaja bermula…. Yang pasti, saya akan terus kehadapan, Istiqomah dengan perjuangan, dan prinsip saya.

“Saya percaya setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Saya redha, serah sepenuhnya perjalanan hidup saya pada Allah SWT. Kerana atas kehendakNya jualah saya bertanding pada PRK ini,” katanya lagi.

Dalam keputusan yang diumumkan malam tadi, calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menang dengan mendapat 31,016 undi, merosot sebanyak 5,209 undi berbanding 36,225 undi yang diraih PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei lalu.

Calon PAS Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar mendapat 7,456 undi berada di tempat kedua, diikuti calon Bebas bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang meraih 4,230 undi.

Saiful pula memperolah 82 undi, Stevie Chan Ken Leong 337 undi, Kan Chee Yuen (154) dan Lau Seck Yan mendapat 214 undi, menyaksikan kesemua calon Bebas hilang wang pertaruhan. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.