Penerimaan Darjah Kebesaran Tak Cermin Semangat Perjuangan DAP -LGE

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng beranggapan bahawa penerimaan darjah kebesaran tidak mencerminkan semangat perjuangan sebenar parti itu.

Justeru ia akan memberikan persepsi buruk kepada rakyat terhadap parti itu maka Lim Guan memaklumkan akan membincangkan isu itu dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada minggu depan.

“Saya tidak mahu apa yang saya sebutkan ini sebagai tanda tidak hormat kepada mana-mana kerajaan negeri (yang mengurniakan darjah kebesaran), tetapi kenapa pemimpin kita perlu terima pada tahun pertama (mentadbir)? Tunjukkan prestasi berkhidmat untuk rakyat terlebih dahulu.

“… kalau ini menyinggung mana-mana pihak di luar parti, saya minta maaf kerana saya rasa ini amat penting kerana DAP tidak pernah kejar jawatan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen DAP Perak yang dihadiri 1,303 perwakilan di Taiping hari ini.

Turut hadir Naib Pengerusi DAP Kebangsaan M Kulasegaran dan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

Untuk rekod, semalam 2 wakil rakyat DAP Melaka iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Hilir Tey Kok Kiew dan Adun Bemban Wong Fort Pin menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran “Datuk” bersempena sambutan hari jadi ke-80 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Minggu lepas pula, 2 menteri DAP Sabah iaitu Stephen Wong dan Frankie Poon dianugerahkan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran “Datuk” bersempena ulang tahun ke-65 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Lim berkata adalah tidak wajar pemimpin parti dari Sabah dan Melaka itu menerima gelaran tersebut sedangkan penasihat DAP Lim Kit Siang dan bekas pengerusi DAP mendiang Karpal Singh pernah menolak pemakaian gelaran “Datuk” yang mereka terima dan lebih selesa dengan gelaran “Yang Berhormat’”.

Selain menteri DAP, baru-baru ini lima menteri daripada rakan komponen Pakatan Harapan iaitu =Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun; Menteri Kesihatan Dr Dzulkeply Ahmad; Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan MD Yusof; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr Mujahid Yusof menerima darjah kebesaran membawa kepada gelara ‘Datuk Seri’.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.