Pemilihan PKR Sabak Bernam Kecoh, Pengundi Tolak Menolak

SABAK BERNAM – Pemilihan PKR cabang Sabak Bernam hari ini sedikit kecoh apabila berlaku tolak menolak dan perang mulut antara perwakilan dan petugas di pintu masuk Dewan Tun Razak, Sabak Bernam, di sini.

Kekecohan selama kira-kira 45 minit itu didakwa berpunca daripada perwakilan yang tidak berpuas hati apabila hanya 10 pengundi sahaja dibenarkan masuk ke dalam dewan dalam satu-satu masa.

Malah mereka juga melahirkan kekesalan apabila jawatankuasa pemilihan tidak menyediakan khemah untuk perwakilan berteduh sebelum masuk ke dewan.

Seorang perwakilan, Rosli Abdullah Sani, 51, berkata, perwakilan berang kerana keadaan itu mengundang rasa tidak selesa terutama bagi orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

“Saya sendiri menunggu hampir dua jam dari pukul 8 dan pukul 11 pagi baru dapat mengundi, kami terpaksa menahan terik matahari sebab tiada khemah menunggu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Rosli menambah, dia kecewa kerana perwakilan tidak dilayan dengan baik petugas sedangkan mereka yang memilih.

“Ikutkan hati saya nak balik saja dan pulang ke rumah. Lebih baik saya uruskan perniagaan daripada terpaksa beratur panjang,” katanya.

Mengulas isu sama, seorang perwakilan, Harun Sam, 48, berkata, setiap kali pemilihan PKR cabang itu pastinya berlaku perkara sama dan sepatutnya sistem pemilihan parti ditambah baik, bukannya menyusahkan perwakilan yang hadir untuk mengundi.

“Kita cadang pasang saja khemah di dalam kawasan pengundian bagi mengelakkan berlaku kejadian tak diingini seperti pengsan, bergaduh dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, petugas telah mula meletakkan khemah di depan pintu pagar dewan selepas insiden kekecohan tersebut berjaya diredakan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.