PDRM Nafi Ada Unsur Sabotaj Dalam Gerakan Buru Jho Low

POLIS menafikan terdapat unsur sabotaj dalam gerakan memburu Low Taek Jho atau Jho Low yang diburu berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, buat masa ini, walaupun tiada maklumat tepat lokasi sebenar ahli perniagaan itu berada namun usaha mengesannya masih giat dijalankan.

“Saya tidak pasti siapa yang sabotaj. Setahu saya, PDRM tidak terbabit dalam perkara ini (sabotaj).

“Kita pun sedang mengesan dia (Jho Low) dan bapanya termasuk meminta bantuan daripada Interpol banyak kali walaupun terdapat masalah teknikal pada peringkat awal,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, pihaknya juga berhubung terus dengan Interpol untuk membantu mengesan dua beranak itu.

“Yang terdekat kita dapat tahu dia ada di Hong Kong, tetapi bila kita hantar pasukan, dia menyelinap masuk ke Macau dan dari Macau kita tidak tahu lagi dia ke mana.

“Oleh itu kita sedang berhubung dengan rakan-rakan kita untuk mengesan Jho Low dan bapanya,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata demikian ketika menyempurnakan Hari Sukan Negara Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Puteri Harbour Marina, Iskandar Puteri, semalam.

Beliau mengulas dakwaan bahawa tindakan sabotaj di dalam kerajaan adalah antara sebab Malaysia sukar untuk mengenal pasti dengan tepat seterusnya memberkas ahli perniagaan berkenaan.

Jho Low menjadi perhatian dunia kerana dikaitkan dengan skandal 1MDB menyebabkan beliau masih diburu pihak berkuasa di negara ini.

Sehingga kini beberapa tindakan diambil untuk menjejakinya seperti membatalkan pasport antarabangsa milik ahli perniagaan itu oleh Jabatan Imigresen. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.