“Kalau Negara Nak Bankrap Dulu, Macam Mana Mereka Terfikir Nak Hapus Tol?”

SHAH ALAM – Datuk Seri Najib Razak mendedahkan ‘tembelang’ Pakatan Harapan (PH) yang berlindung di sebalik keadaan kewangan negara sebagai alasan untuk tidak menghapuskan tol.

Menerusi satu catatan di Facebook, Najib berkata adalah sangat lucu apabila PH sewaktu sebelum pilihan raya umum lalu gigih mencanang khabar kononnya negara akan bankrap, namun dalam masa yang sama berjanji untuk menghapuskan tol dan menurunkan harga minyak.

“Lucu. Yang jelajah seluruh Malaysia dulu kata negara nak bankrap dan keadaan tenat, mereka.

“Yang kata kerajaan mampu hapus tol, turun harga minyak dan macam-macam lagi, mereka.

“Sekarang ni keluar pula kenyataan kata bahawa masa PH buat manifesto, mereka ingat kewangan negara cukup untuk hapus tol,” katanya.

Tambah Najib, adalah sangat tidak masuk akal apabila PH mendakwa mereka tidak mengetahui mengenai tahap kewangan negara memandangkan setiap tahun bajet dan kewangan negara dipapar kepada tatapan umum, malah setiap ahli Parlimen mempunyai salinan dokumen mengenainya.

“Ataupun boleh buka browser dan Google cari maklumat tersebut di laman rasmi kerajaan. Mereka tahu. Malah ramai pemimpin mereka bekas pemimpin kerajaan BN.

“Jadi mana satu penipuan yang mereka nak terus tegakkan sekarang? Kalau negara nak bankrap dulu, macam mana mereka boleh terfikir nak hapuskan tol?

“Amat menyedihkan apabila mereka kini minta rakyat berkorban dan lupakanlah manifesto mereka.

“Demi siapa? Selepas menang kuasa di tangan dengan penipuan, mereka kini selesa. Apakah kita terima begitu sahaja?,” soal Najib. 

Semalam Najib dalam kenyataannya menyifatkan PH berniat menipu pengundi melalui manifesto, ibarat pemuda sengaja mengukir kata manis untuk memperdaya gadis. 

Kata mantan Perdana Menteri itu, pendekatan itu berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu yang memang mahu menunaikan janji pilihan rayanya walau sering dilabel “janji di capati”. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.