Golongan Paling Ramai Tekanan Dan Cuba Bunuh Diri

KUALA LUMPUR – Golongan muda adalah paling banyak bertindak cuba membunuh diri akibat tekanan mental, kata
Ketua Exekutif BeFrienders, Justin Victor.

Perkara itu merupakan dapatan daripada kajian Kementerian Kesihatan di mana 12.8% golongan muda seawal usia 16 tahun sudah berniat untuk bunuh diri kerana faktor kemurungan disebabkan oleh masalah kehidupan.

Tambah Justin kebanyakan golongan muda yang membuat panggilan kepada pertubuhan itu sedar bahawa mereka tidak tahu bagaimana untuk mengurus tekanan jiwa yang dialami.

“Mereka bukan tidak mahu meluahkan perasaan kepada keluarga terdekat tetapi kebanyakan ibu bapa tidak merasakan masalah tersebut besar atau tidak mempercayainya.

“Ada satu kes remaja yang memberitahu ibu bapanya bahawa dia mengalami gangguan bipolar dan mereka memberikan anaknyaitu pil tidur hanya kerana tidak percaya kepada psikatari,” katanya dalam satu forum awam bertajuk “Working Together To Prevent Suicide’”.

Menurut angka Kementerian Kesihatan terdapat peningkatan dalam masalah kesihatan mental di negara ini dari tahun 1996 (10.7%) sehingga 2015(29.2%) .

Negeri paling banyak mencatatkan kes masalah kesihatan mental ialah Sabah (42.9% ), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (39.8%) dan Kelantan (36%).

Tambah Justin golongan muda tidak tahu bagaimana untuk menghadapi masalah trsebut dan berasa sunyi kerana tiada pihak yang mengambil berat.

Menurut ahli psikologi Klinikal, Evelyn Soong, kebanyakan golongan muda yang murung tidak dapat menahan perasaan negatif yang menyelubungi diri mereka atas 3 faktor utama:

Pertama, keganasan rumah tangga yang menjejaskan emosi anak-anak dan berlarutan hingga mereka dewasa, tetapi dilihat sebagai sesuatu yang “normal” bagi pasangan terbabit. Pengalaman membesar dalam suasana “ganas” ini menyumbang kepada kemurungan yang dialami kanak-kanak sehingga mereka dewasa.

Kedua, kejadian buli siber yang dihadapi di laman sosial memberi kesan negatif berpanjangan seolah-olah mereka sentiasa diperhati atau diserang “musuh”.

Faktor ketiga ia kesan percanggahan antara imej serta pengalaman di dunia “virtual” di internet dengan dunia nyata menyebabkan ramai golongan muda keliru dan gagal membezakan antara kedua-duanya.

Kegagalan itu memberi kesan ke atas kesihatan mental golongan muda, sekali gus keupayaan mereka mengawal perasaan atau imaginasi, katanya.

Evelyn berkata, oleh sebab tidak ada pihak yang bersedia mendengar luahan perasaan orang muda yang mengalami kemurungan atau membimbing mereka keluar daripada masalah dihadapi, mereka cenderung mengambil langkah lebih buruk untuk mengatasi tekanan, termasuk membunuh diri.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.