Azmin Tewaskan Rafizi Di Kota Raja, Tapi Tersungkur Di Kapar

SHAH ALAM – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berjaya menewaskan pencabarnya, Rafizi Ramli dalam pemilihan PKR bagi Cabang Kota Raja, hari ini.

Penyandang jawatan nombor dua parti itu meraih 1,155 undi mengalahkan Rafizi dengan perbezaan 93 undi. Rafizi hanya meraih 1,062 undi.

Bagi jawatan Ketua Cabang dan Timbalan Ketua Cabang (Kota Raja) pula dikuasai ‘kem’ Rafizi, iaitu masing-masing disandang oleh R. Gunarajah dan Mohd. Zawawi Ahmad Mughni.

Bagaimanapun perkara sebaliknya pula berlaku di Cabang Kapar, apabila keputusan pemilihan PKR hari ini menyaksikan Azmin tersungkur di tangan Rafizi.

Bekas Menteri Besar Selangor itu yang dikatakan mempunyai pengaruh besar di negeri ini tewas kepada Rafizi dengan perbezaan undi yang agak besar.

Rafizi memperoleh 1,980 undi meninggalkan Azmin dengan perbezaan 475 undi apabila Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu sekadar berjaya mendapatkan 1,505 undi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Daroyah Ali pula mencipta kejutan apabila berjaya merampas jawatan Ketua Cabang Kapar daripada penyandangnya, Datuk Azizi Ayob, selain turut mengetepikan tiga lagi pencabar termasuk nama besar iaitu Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid. 

Azmin baru-baru ini menyatakan keyakinannya untuk terus diberi amanah menggalas tugas sebagai Timbalan Presiden PKR. 

Beliau berkata, penilaian itu dibuat berdasarkan sentimen, sokongan semasa serta prestasi beliau sepanjang 20 tahun memimpin perjuangan PKR. 

Saingan antara Azmin dan Rafizi semakin sengit apabila mantan Ahli Parlimen Pandan itu dikatakan mendahului kedudukan selepas menang selesa di Terengganu, selain mendapat kemenangan tipis di Kelantan dan Pahang.

Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk menamakan ‘pemenang’ memandangkan pemilihan PKR masih berlangsung sehingga 10 November hadapan. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.