Ukiran Inai Jadi ‘Trend’ Musim Deepavali

KUALA LUMPUR – Selain beraya dengan pakaian fesyen terbaru, berinai dengan pelbagai corak yang menarik menjadi trend terkini bagi golongan wanita India untuk menyerlahkan lagi penampilan mereka pada musim perayaan Deepavali Rabu ini.

Inai dengan corak bunga-bungaan dan tumbuhan menjalar pada tangan dan kaki itu yang dahulunya hanya dapat dilihat pada pengantin perempuan, kini menjadi budaya dalam kalangan masyarakat India, terutamanya pada musim perayaan Deepavali.

Pelukis inai, P. Umathevy berkata permintaan melukis inai menjelang Deepavali sangat tinggi tanpa mengira umur sehingga pelukis inai tidak menang tangan.

“Dahulu, orang hanya melukis inai untuk perkahwinan tetapi sekarang orang juga berinai pada musim perayaan khususnya pada Hari Deepavali,” kata gadis berusia 23 tahun itu kepada Bernama.

Pengasas dan pemilik Freshinkmehendi itu berkata inai kini menjadi sumber pendapatan sampingannya berikutan permintaan yang tinggi menjelang perayaan Deepavali, dan mampu menjana pendapatan sehingga RM2,000 dalam tempoh masa singkat.

Umathevy berkata bukan hanya masyarakat India, malah lukisan inai kini mendapat sambutan hangat daripada kaum Melayu, Cina malah pelancong asing.

Sementara itu, Pemilik Mehndi Waves R. Uganthana berkata upah untuk melukis inai juga boleh mencecah ratusan ringgit apabila coraknya rumit dan sukar.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak menggunakan inai segera yang boleh didapati dengan harga murah bagi mengelak daripada mendapat kesan sampingan, memandangkan ada yang mempunyai kulit yang sensitif.

Uganthana, 25, yang menghasilkan inainya sendiri dengan menggunakan teknologi terkini berkata bidang melukis inai kini telah beralih ke tahap seterusnya apabila keunikan dan motif lukisan inai tangan yang penuh berseni itu turut diadaptasikan pada lilin dan kanvas.

“Jika dahulu daun inai yang sudah lumat hanya disalut pada hujung jari kini ia lebih moden dengan lukisan inai pelbagai corak yang dilukis bukan sahaja pada seluruh badan, tetapi pada lilin, kanvas, pinggan dan banyak lagi,” katanya.

Pemilik Hello Gorgeous Beauty Parlour P. Komlashni pula berkata selain pemakaian inai, mendandan rambut dan menghias kuku juga menjadi perkara penting bagi golongan wanita ketika musim Deepavali.

Beliau berkata wanita kini ingin kelihatan lebih cantik dan berseri ketika perayaan, justeru jumlah pelanggannya meningkat dengan mendadak sehari dua sebelum sambutan Deepavali.

Penganut Hindu akan menyambut Deepavali pada Rabu ini bagi meraikan kejayaan kebaikan yang mengatasi kejahatan.

Deepavali akan disambut pada Saturthasi Tithi, hari ke-14 pada bulan Iypasi, berdasarkan kalendar panjangam Hindu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.