Korea Utara Sedia Lancar Peluru Berpandu

SEOUL – Korea Utara dipercayai bersiap sedia untuk melancarkan peluru berpandu balistik menjelang latihan tentera laut bersama Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan, menurut laporan hari ini, memetik kenyataan sumber kerajaan.

Tentera Laut AS, semalam berkata kapal pengangkut pesawat AS akan mengetuai latihan itu minggu depan, tindakan terbaru mempamerkan kekuatan kepada Korea Utara ketika ketegangan memuncak berhubung program senjata rejim itu, lapor Bh.

Langkah itu akan menaikkan kemarahan Pyongyang yang sebelum ini berang kepada latihan bersama itu.

Akhbar Donga Ilbo, memetik sumber kerajaan, melaporkan gambar satelit menunjukkan banyak peluru berpandu balistik di atas pelancar dibawa keluar dari hangar berhampiran Pyongyang dan di Wilayah Phyongan Utara.

Pegawai tentera AS dan Korea Selatan mengesyaki Korea Utara bersiap sedia melancarkan peluru berpandu yang boleh sampai ke wilayah AS.

Ia berkemungkinan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) Hwasong-14 yang boleh sampai ke Alaska, atau peluru berpandu jarak pertengahan, Hwasong-12 yang pernah diancam oleh Pyongyang akan dibedil ke arah wilayah AS di Pasifik, Guam, Ogos lalu.

Kemungkinan lain adalah rejim itu bersiap sedia menguji ICBM Hwasong-13, tambah laporan, yang mempunyai jarak jauh maksimum berbanding dua peluru berpandu lagi dan boleh sampai ke Pantai Barat AS.

Jurucakap Kementerian Pertahanan enggan memberi ulasan mengenai laporan itu, berkata: “Kami tidak mengulang sebarang perkara mengenai perisikan tentera.” 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.