Jenazah Shyzlin Disolatkan Di Peru

KUALA LUMPUR – Jenazah bekas mangsa sindiket dadah antarabangsa, Shyzlin Hathaman, wanita dari Johor yang meninggal dunia di Lima, Peru pada 7 Oktober lalu, selamat disolatkan petang kelmarin waktu negara itu.

Jenazah disembahyangkan di bangunan Persatuan Islam Peru atau Association Islamica Del Peru di Magdalena, Lima.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO (BiKOM), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata jenazah akan dibawa balik ke Malaysia dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) pada jam 3 petang Selasa ini.

Jenazah Shyzlin diusung ke kenderaan untuk dibawa ke bangunan Persatuan Islam Peru atau Association Islamica Del Peru di Magdalena, Lima.

Katanya, proses membawa keluar jenazah Shyzlin yang meninggal dunia di Nacional Dos De Mayo Health dari KLIA Cargo dijangka mengambil masa satu jam.

“Sebaik dibenarkan keluar (kargo), jenazah akan terus di bawa ke Masjid Larkin, Johor Bahru untuk disembahyangkan sebelum ke Tanah Perkuburan Kebun Teh untuk dikebumikan,” katanya kepada BH sebentar tadi.

Beliau berkata, pengurusan jenazah di Peru dilaksanakan pejabat Kedutaan Malaysia di negara berkenaan dengan kerjasama penduduk Islam setempat.

BiKOM juga membantu menguruskan jenazah, termasuk menanggung semua kos membawa pulang Allahyarham ke tanah air.

Shyzlin, 43, dianiayai sindiket dadah antarabangsa sehingga dipenjara dan terkandas di Lima sejak lapan tahun lalu.

Wanita itu meninggal dunia di hospital Nacional Dos De Mayo Health Facility selepas dimasukkan ke wad kerana beberapa penyakit, termasuk asma dan kencing manis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.