‘Gadis Bengkel’ Rela Berlumur Minyak

KUALA TERENGGANU — Seorang gadis tidak kisah berlumur minyak asalkan dapat bekerja di bengkel kenderaan.

Nor Sakira Awee, 20, mampu membaiki kerosakan enjin kereta selepas enam bulan belajar di Universal Centre Education Training Employment (Unicete).

Gadis berasal dari Kampung Batangan, Marang meminati kerja membaik pulih pelbagai jentera termasuk kereta dan motosikal sejak kecil, lapor Metro.

“Walaupun terpaksa bergelumang dengan minyak hitam selain mendapat sindiran pelbagai pihak, saya tetap kekal dengan minat itu,” katanya yang digambarkan rakannya Mohd Ishak Amin, 20, sebagai “lemah lembut” tetapi cekap setanding pelajar lelaki.

Beliau mula mengasah minatnya di bengkel kereta abangnya Mohd Sabri, 26, di Kampung Tok Landok, berbangga mendalami bidang automatif kerana dapat membantu orang ramai terutama wanita.

“Bila ada kenderaan rosak tersadai di tepi jalan, saya akan berhenti untuk memberikan pertolongan,” katanya, menyifatkan kerjaya itu tidak mengubah penampilannya sebagai perempuan.

Rakaman Nor Sakira membaiki brek kereta menular di internet, kebanyakannya memuji keupayaannya malah tidak kurang mengusik sanggup meletak hantaran RM20,000.

Ketua pengajar Unicete Mohd Nazarizal Abd Ghani pula berkata Nor Sakira antara tiga pelajar perempuan yang mengikuti kursus automototif sejak ditubuhkan pada 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.