Peniaga ‘Nasi Lemak Anak Dara’ Belanja Zizan Razak

SHAH ALAM – Pelawak dan pelakon popular, Zizan Razak turut tidak terkecuali terkena demam nasi lemak anak dara apabila mengambil peluang singgah di gerai tersebut hari ini.

 

Melalui status yang dimuatnaik di akaun istagramnya, Zizan yang mendakwa ibunya mengidam untuk menikmati nasi lemak tersebut turut berkongsi gambar selfie dengan tuan punya gerai, Siti Hajjar Ahmad.

 

“Alhamdulillah.. demi ibu yang tercinta yang mengidam makan NASI LEMAK ANAK DARA dan sempena dengan ZIZAN RAZAK ANAK TERUNA TERENGGANU.. Zizan di belanja oleh @sitihajjar_ahmad terima kasih daun pisang,” tulis Zizan.

 

Status tersebut sehingga kini disukai lebih 57 ribu pengikutnya di instagram dan mendapat lebih 600 komen dengan pelbagai ulasan mengenainya.

 

“Untunglah, @zizanrazak869 kalau nasi lemak mak dara yang buat tak nak cuba ke? Mentang-mentang anak dara sanggup guna alasan ibu plak ehhh,” komen Syafinas di status tersebut.

 

“Ha..ha..ha.. Laki-laki (di) belakang tu,” tulis Izzatsams merujuk kepada sekumpulan lelaki yang beratur untuk membeli nasi lemak.

 

“Amboi gatai kau kan abang Zizan…hahaha,” coret Norhasida Abd Razak secara berjenaka.

 

Gerai nasik lemak anak dara yang diusahakan Siti Hajjar sejak Ogos lepas pernah disaman Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana beroperasi tanpa lesen selepas viral di media sosial.

 

Beliau yang baru selesai konvokesyen dan menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) minggu lepas setakat ini telah menolak dua tawaran kerja.

 

“Bukan sombong, berlagak atau bongkak kerana menolak dua tawaran kerja itu namun saya mahu memantapkan dulu ilmu perniagaan saya dahulu sebelum mungkin mencari kerja bersesuaian kelulusan tahun hadapan.

 

“Walaupun perniagaan nasi lemak anak dara diusahakan saya sendiri dengan skala kecil namun kepuasannya sukar digambarkan apabila pelanggan menggemari air tangan saya.

 

“Saya terharu apabila ada pelanggan sehingga dari Ipoh, Perak serta Seremban, Negeri Sembilan sanggup datang ke tapak niaga di Seksyen 7, Shah Alam, semata-mata mahu merasa nasi lemak yang saya jual,” katanya dipetik dari portal BHarian.

 

Siti Hajjar juga berpandangan menjual nasi lemak di tepi jalan sebagai lebih mulia daripada hanya sekadar menanti peluang jatuh ke riba, selain pendapatannya jauh lebih lumayan berbanding bekerja dengan orang. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.