PAS ‘Bersumpah’ Tidak Akan Bersama DAP

KUALA LUMPUR – “Nak jadi (pertembungan) tiga penjuru, jadi la…PAS akan bertanding di mana DAP bertanding. Mereka perlu ingat kemenangan mereka sebelum ini turut dibantu PAS,”kata Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.

 

Beliau berkata, partinya sanggup berdepan dengan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang menegaskan keengganan bekerjasama dengan DAP.

 

“Tiada kerjasama, hubungan PAS dan DAP memang putus kerana tindakan mereka sendiri yang memungkiri janji dengan tidak mahu bekerjasama dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Tambah Hashim, parti itu sudah serik diperdaya dengan helah DAP, PAS berikrar untuk tidak kembali menjalin hubungan politik dengan parti komponen Pakatan Harapan tersebut.

 

Hashim baru-baru ini dilantik sebagai Mursyidul Am PAS baharu menggantikan Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia di Hospital di California, Amerika Syarikat.

 

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis turut menegaskan partinya akan meletakkan calon di kerusi yang ditandingi DAP kelak.

 

Tambahnya, PAS sudah serik dipermainkan DAP dan menerusif ‘tahaluf siyasi’ (pendekatan politik) bersyarat pada PRU-13 lalu.

 

“Kita tidak mahu ulangi kesilapan dipatuk dua kali di tempat sama kerana menjalin semula kerjasama dengan DAP,” katanya.

 

Ujarnya lagi, PAS kini menjalin hubungan baik dengan UMNO atas dasar perpaduan umat Islam demi keredhaan Allah, dan menafikan kerjasama tersebut ekoran PAS dilihat lemah menjelang PRU14.

 

“Dulu (zaman Allahyarham Datuk Nik Aziz) berbeza namun dasar perjuangan PAS untuk menegakkan syiar Islam tidak berubah, bukan mengikut kepala orang yang dilantik menjadi Mursyidul Am),” tambah beliau.

 

Tambahnya, kerjasama dengan PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) akan ditetapkan semasa mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat pada 22 dan 23 Oktoober ini di ibu negara.

 

Katanya lagi, PAS kini mengamalkan politik matang dan bukan politik ‘cari makan’ atau semata-mata untuk memenangi PRU.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.