Kumpulan Rock Search Berdepan Tuntutan Saman RM494,000

SHAH ALAM — Bekas penganjur Konsert 35 Tahun Search mengambil tindakan saman terhadap kumpulan rock ternama itu berhubung pembatalan acara tersebut.

 

AFJets Sdn Bhd memfailkan saman RM494,000 terhadap empat anggota kumpulan rock Search, tidak termasuk pemain dram Yazit Ahmad, lapor portal Berita Harian.

 

Syarikat itu menamakan vokalisnya Amy, nama glamor Suhaimi Abd Rahman, Noordin Mohd Taib, Hamzah Mohd Taib dan Nasir Daud sebagai defendan pertama hingga keempat.

 

AFJets dilaporkan mengemukakan tindakan undang-undang itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates.

 

Konsert 35 Tahun Search, sempena ulang tahun kumpulan rock legenda itu, dijadual di ibu kota pada 30 Ogos.

 

Namun Yazit dan empat lagi anggota Search bertelagah soal bayaran awal sehingga perkara tersebut diadukan kepada polis.

 

Susulan itu, Mei lalu, ketua pegawai eksekutif syarikat sewaan pesawat itu dilaporkan semakin tawar hati untuk meneruskan konsert walau sudah melaburkan jumlah wang yang banyak.

 

“Terus terang saya semakin tawar hati untuk teruskan penganjuran yang sepatutnya berlangsung pada Ogos depan.

 

“Kami sudah menghabiskan sebanyak RM125,000 untuk membayar deposit kepada bukan sahaja anggota Search, tetapi juga krew yang lain.

 

“Walau bagaimanapun keadaan semakin tidak bagus apabila pertelagahan pula yang menjadi perhatian orang ketika ini, berbanding cerita konsert itu sendiri.

 

“Ini membuatkan pihak kami selaku penganjur benar-benar terkilan dengan apa yang terjadi ketika ini,” kata Amrul Nizar Anuar seperti dilaporkan Mingguan Malaysia.

 

Kira-kira seminggu selepas itu, Search mengumumkan pembatalan konsert ulang tahun ke-35 kumpulan itu. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.