Syarikat Konsesi Lebuh Raya Pertahan Kenaikan Tol

Kuala Lumpur – Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) menafikan dakwaan bahawa penyelarasan kadar tol baharu yang diumumkan akan memberi keuntungan besar kepada pemegang konsesi.

 

Sebaliknya, penyelarasan kadar tol itu bagi membolehkan anggota PSKLM terus menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang selamat dan selesa kepada pengguna lebuh raya.

 

PSKLM menerusi kenyataan pada Rabu berkata, adalah tidak benar untuk membuat tuduhan seperti itu yang seolah-olah mahu memberi gambaran bahawa konsesi cuba mengaut keuntungan dikala berlaku kenaikan terhadap perkara-perkara tertentu yang menekan pengguna ketika ini.

 

“PSKLM memahami dan memberi perhatian serius kepada semua reaksi yang diberikan.

 

“Di bawah Dasar Penswastaan Lebuh Raya Bertol pada awal 1980an, usaha membangunkan lebuh raya adalah sesuatu yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dengan penglibatan terus pihak swasta.

 

“Di bawah dasar ini, syarikat konsesi akan menanggung segala perbelanjaan untuk membina sesebuah sesuatu lebuh raya dan sebagai balasannya, dibenarkan untuk mengutip tol untuk satu tempoh konsesi yang telah ditetapkan,” kata kenyataan itu.

 

Menurut kenyataan itu lagi, ramai mendakwa kenaikan harga barang akan berlaku akibat dari penyelarasan kadar tol.

 

Bagaimanapun, kenaikan harga barang dicatatkan setiap tahun walaupun tanpa penyelarasan kadar tol.

 

“Kenaikan harga barang adalah ekoran daripada pelbagai faktor, antaranya kenaikan harga minyak global dan sikap mereka yang ingin mengambil kesempatan untuk membuat keuntungan yang berlebihan dari penyelarasan kadar tol ini.

 

“Sehubungan itu, kami ingin menyeru agar pihak berkuasa turut sama memantau akan kenaikan harga barang yang menggunakan penyelarasan kadar tol sebagai alasan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.