Ruang Udara Di Kawasan Bergolak Timur Ukraine Sepatutnya Ditutup – Lembaga Keselamatan Belanda

KUALA LUMPUR – Ukraine mempunyai alasan mencukupi untuk menutup ruang udara di zon konflik bersenjata di timur Ukraine sebagai langkah berjaga-jaga, sebelum pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014.

 

 

Pengerusi Lembaga Keselamatan Belanda, Tjibbe Joustra semasa mendedahkan laporan akhir siasatan berhubung tragedi MH17 pada Selasa, memberitahu ruang udara tersebut banyak digunakan, yang antara 14 Julai hingga 17 Julai 2014, 61 pengendali penerbangan daripada 32 negara menerbangkan pesawat mereka di ruang udara berkenaan.

 

 

“Tiada pihak terbabit mengenal pasti risiko yang dihadapi dengan menerbangkan pesawat awam di bahagian timur Ukraine,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung oleh CNN daripada pangkalan udara Gilze-Rijen, Belanda.

 

 

Beliau berkata pada hari pesawat terhempas, sehingga ruang udara ditutup, 10 penerbangan komersial telah melalui kawasan berkenaan.

 

 

Katanya Lembaga Keselamataan Belanda dalam laporannya turut mendapati sistem tanggungjawab sedia ada berhubung penerbangan di kawasan konflik adalah tidak mencukupi.

 

 

Joustra berkata ini kerana pengendali beranggapan bahawa ruang udara tiada had adalah selamat.

 

 

“Semasa menilai risikonya, pengendali selalunya mengambil kira keselamatan lokasi berlepas dan tiba, tetapi tidak mengenai keselamatan negara yang dilalui. Apabila terbang di kawasan konflik, penilaian risiko tambahan adalah perlu,” katanya.

 

 

Beliau berkata lembaga berkenaan turut mempertimbang adalah penting bagi semua pihak yang terlibat dalam penerbangan termasuk negara, pertubuhan penerbangan seperti ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) dan IATA (Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa) serta pengendali untuk bertukar lebih banyak maklumat mengenai kawasan konflik dan yang boleh memberi ancaman kepada penerbangan awam.

 

 

Katanya lebih banyak perhatian perlu diberi kepada pembangunan konflik termasuk sebarang pertambahan aktiviti ketenteraan dan tembak-menembak di darat apabila memproses dan menterjemah maklumat.

 

 

“Negara yang terbabit dalam konflik bersenjata perlu menerima lebih banyak insentif dan sokongan lebih baik bagi mengawal keselamatan ruang udara mereka.

 

 

“Sebagai tambahan, Lembaga Keselamatan Belanda berpendapat bahawa para pengendali perlu memberi penerangan kepada awam mengenai laluan penerbangan mereka,” tambah Joustra.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.