‘Rock macam mana pun, ALLAH jangan lupa bro’

BINTANG rock Facebook (FB), Mohd Azlan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Alen Castello yang mencetuskan fenomena apabila videonya menyanyikan lagu She’s Gone menjadi viral di laman sosial merupakan salah seorang peserta Pencetus Ummah (PU) 2015.

 

 

Situasi berkenaan menyebabkan peserta yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang itu dikenali ramai.

 

 
Lebih membanggakan lagi, selain memiliki vokal hebat, Azlan juga seorang imam di Masjid Ar Rahman, Batu Feringgi, sejak dua tahun lalu.
Pada masa sama, pemuda berusia 33 tahun itu turut memuat naik video yang dirakam ketika sedang membaca khutbah Aidiladha di masjid terbabit.

 

 

“Sebenarnya, sudah lama rakaman video tersebut menjadi viral. Kalau tak silap sekitar tahun lepas.

 

 

“Pada waktu itu, saya sudah bekerja di sebuah masjid di Batu Feringgi, Pulau Pinang.

 

 

“Bahkan, dek video itu juga, ramai yang menggelar saya Ustaz Rock kerana menyanyikan lagu berbahasa Inggeris meskipun bekerja di masjid,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada sidang media program berkenaan, baru-baru ini.

 

 

Jelasnya, di samping berhibur, dia turut menggunakan akaun FB untuk berdakwah dengan menyelitkan nasihat keagamaan dan semakin hari ramai pengguna memberi respons yang baik.

 

 

“Hobi saya adalah menyanyi malah saya juga pernah menganggotai kumpulan muzik amatur ketika remaja.

 

 

“Namun, itu tidak bermakna saya tidak boleh menyertai program dakwah seperti ini,” katanya.

 

 

Memegang prinsip ‘Rock Macam Mana Pun, ALLAH Jangan Lupa Bro’, Azlan bagaimanapun tidak meletakkan harapan tinggi dalam program realiti ini.

 

 

“Tiada sebarang sasaran ditetapkan sewaktu menyertai PU.

 

 

“Apa yang saya mahu hanyalah berkongsi ilmu agama dengan semua orang,” ujarnya.

 

 

Selain Azlan, PU 2015 turut disertai oleh Syed Mohd Bakri Syed Ishak (PU Syed), 33; Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim (PU Amin), 25; Taha Mohd Omar (PU Taha), 28; Mohammad Azhar Hilmi Mohamad Fadzil (PU Hilmi), 23; Muhd Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi (PU Abu), 21; Merico Achenk Abdullah (PU Merico). 29; Abdul Hafiz Mad Radzi (PU Angah), 28; Adek Zuhaimei Ismail (PU Adek), 35; Abdul Zaid Abdul (PU Zaid), 30; Muhammad Ramadhan Jamaludin @ Madan (PU Ramadhan), 19 dan Muhsin Ahmad (PU Muhsin), 27.
Pengurus saluran Astro Oasis, Ahmad Fuad Mat Ali menjelaskan 12 peserta akhir ini berjaya dikenal pasti untuk meneruskan cabaran dalam musim ketiga PU berdasarkan daripada sesi uji bakat  yang telah diadakan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa (Kuis) pada 22, 23, 29 dan 30 Ogos lalu.

 

 

“Kami tidak menetapkan sebarang ciri-ciri khas dalam proses pemilihan peserta.

 

 

“Sebaliknya, mereka hanya perlu memenuhi syarat-syarat asas penyertaan uji bakat selain mampu menyampaikan tazkirah dengan menarik dan kreatif serta berpendidikan agama.

 

 

“Latar belakang daripada 12 peserta yang terpilih untuk musim ini semuanya pelbagai baik dari segi umur, pendidikan dan pengalaman.

 

 

“Jadi, dengan perbezaan itu diharapkan ia dapat memberi lebih banyak dimensi penyampaian dakwah sepanjang program ini berlangsung,” katanya.

 

 

 

Memasuki musim ketiga, kata Ahmad Fuad, PU bakal menampilkan kelainan dari segi format dan konsep rancangan bagi meningkatkan kualiti persembahan serta keberkesanan penyampaian peserta untuk disajikan kepada penonton.

 

 

Mengangkat tema Dakwah Dengan Akhlak, PU pada musim ini buat julung kalinya memperkenalkan seorang pengetua atau dikenali dengan gelaran Mudir untuk memantau kelas-kelas yang dijalankan serta perkembangan setiap peserta dari minggu ke minggu.

 

 

“Untuk musim ini, kami bersepakat untuk memilih pendakwah tersohor tanah air, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias sebagai Mudir.

 

 

“Mudir bertujuan untuk memberi ilmu yang lebih kepada peserta sepanjang menjalani cabaran bergelar pendakwah terbaik.

 

 

“Malah, adalah penting bagi kami di Astro Oasis dalam memastikan kelainan supaya ia sentiasa memberi tontonan terbaik kepada penonton,” katanya.

 

 

Tambahnya, sejak program itu diperkenalkan pada 2013, PU menerima sambutan yang sangat menggalakkan sekali gus menjadikan rancangan ini sebuah program realiti dakwah yang digemari ramai.

 

 

Selain itu, pendakwah bebas, Ustaz Zulkefli Hamat dan pelakon serta pengacara popular, Shamsul Ghau Ghau akan berganding bahu selaku pengacara sepanjang musim terbaharu ini.

 

 

Aktres terkenal, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy pula bertindak selaku guru persembahan, manakala pengacara serta penyampai radio Sinar FM, Abby Fana masih diberi penghormatan untuk duduk di kerusi juri tetap.

 

 

Bahkan, demi memastikan penonton mendapatkan input dan maklumat yang menyeluruh tentang ilmu agama, beberapa program tambahan juga diwujudkan seperti Detik Pencetus Ummah, Serambi Pencetus Ummah, Tanyalah PU, Mimbar Pencetus Ummah dan Himpunan Pencetus Ummah.

 

 

Sementara itu, Shamsul Ghau Ghau menyifatkan penglibatannya sebagai pengacara PU sebagai platform terbaik dalam mendekatkan lagi dirinya kepada ALLAH SWT.

 

 

Pada masa sama, bekas juara Sinaran Pasport Kegemilangan 1994 itu, mengharapkan agar pembabitannya dalam PU dapat membantu dirinya menuju ke jalan penghijrahannya yang sedang dilakukannya ketika ini.

 

 

“Alhamdulillah, saya rasa berbesar hati kerana diberi peluang untuk menjadi pengacara untuk musim ini.

 

 

“Sebelum ini, saya memang memasang hajat dan berniat kepada ALLAH SWT agar saya terus diberikan petunjuk dan jalan terbaik bagi mendekatkan diri lagi kepada-Nya.

 

 

“Dalam aspek lain, saya turut melihat pembabitan saya ini sebagai salah satu cara untuk menyebarkan dakwah kepada masyarakat.

 

 

“Alhamdulillah, ALLAH SWT memakbulkan niat murni saya dan inilah cara dakwah terbaik saya menuju ke jalan-Nya,” katanya.

 

 

Bagi Fauziah Ahmad Daud atau lebih dikenali sebagai Ogy, dipilih menjadi guru persembahan bagi menggantikan posisi Fauziah Nawi, tahun lalu.

 

 

Biarpun teruja mengendalikannya, sama seperti Shamsul, bintang filem Azura itu juga mahu mendalami ilmu agama selain berkongsi pengalaman dan ilmu bersama peserta pada kali ini.

 

 

“Ini adalah sesuatu yang menarik bagi diri saya sendiri untuk beralih kepada cabang lain pula.

 

 

“Kalau untuk program realiti lain seperti Akademi Fantasia amnya, saya mengkritik peserta tetapi dalam PU, saya adalah tenaga pengajar yang perlu memberi tunjuk ajar kepada peserta tentang ilmu persembahan dan lakonan.

 

 

“Ia sedikit berbeza tetapi jujurnya, saya sangat teruja sebab ia memberi peluang untuk berkongsi ilmu lakonan yang saya peroleh sejak lebih 40 tahun lalu,” katanya.

 

 

Rancangan pencarian pendakwah kreatif yang diminati ramai ini akan memulakan siarannya pada 15 Oktober ini, menerusi saluran Astro Oasis (106) dan Maya HD (135).-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.