Jangan Biar Pihak Bersekongkol Hancurkan Negara – PM

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan rakyat supaya tidak bersekongkol dengan anasir dari dalam atau luar, untuk menghancurkan segala yang dicapai negara ketika ini.

 

Menurut Najib, Malaysia merupakan sinar harapan kepada dunia Islam ketika ini dan inilah yang wajib rakyat pertahankan dengan segala kekuatan yang ada.

 

“Oleh itu, kita mengharapkan adanya perpaduan, yang mana mesti menjurus kepada titik pertemuan.

 

“Jadi, jangan sesekali biarkan ada pihak bersekongkol dengan anasir dalam atau luar negara, bagi menghancurkan apa yang sudah negara capai pada hari ini,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1437H/2015M di Masjid Negara, hari ini.

 

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Mohd Ali Hamsa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

 

Najib turut menyeru para ulama dan profesional Muslim di negara ini supaya proaktif dalam memberi respons segera, bagi menjelaskan maksud Islam sebenar untuk melumpuhkan idea-idea keganasan dan gerakan ekstremis.

 

“Kita berdepan idea-idea keganasan gerakan ekstremis yang boleh bawa kesan yang cukup buruk kepada Islam.

 

“Kita perlu guna segala medium, supaya generasi muda khususnya, faham apa yang terkandung dalam Islam sebenar.

 

“Perkara ini perlu disampaikan, kerana Islam adalah agama yang tidak memusuhi agama-agama lain dan kita sudah lihat bagaimana dalam sejarah empayar Islam, agama-agama lain telah mendapat perlindungan,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.