Azalina Cuba Sekat Akses Media Dengan Ahli Parlimen – Tian Chua

Kuala Lumpur – Parlimen hari ini dilaporkan sedang membuat penyusunan semula ruang bekerja untuk petugas media dan sudut sidang media di bangunan Parlimen.

 

Portal The Malaysian Insider melaporkan difahamkan arahan penyusunan semula itu diberikan oleh Datuk Seri Azalina Othman Said yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Parlimen.

 

Ahli Parlimen Pengerang itu dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri mengambil alih urusan Parlimen daripada Datuk Seri Shahidan Kassim pada rombakan Kabinet 28 Julai lalu.

 

Laporan itu yang memetik sumber menyebut, Azalina mengemukakan usul melaksanakan perpindahan tempat duduk media di Parlimen pada mesyuarat Kabinet 2 minggu lalu.

 

Dikatakan, langkah penyusunan semula itu bertujuan untuk ‘mengasingkan’ media di bangunan lain dari tempat kebiasaan sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara berlangsung.

 

Dalam laporan berkenaan, langkah itu mendapat reaksi kurang senang beberapa ahli Parlimen iaitu Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin, Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

 

“Saya tidak tahu tentang perpindahan ini dan saya tidak setuju media terlalu jauh dengan dewan persidangan,” kata Bung Moktar.

 

Tian Chua pula mendakwa arahan berkenaan akan menyukarkan akses petugas media dan ahli parlimen.

 

“Memang ia seolah-olah menyekat suara media di Parlimen. Tetapi, bukan saja media, ia juga cuba sekat akses ahli Parlimen. Ini kerana, sukar untuk kita buat sidang media ketika persidangan (sedang berlangsung), kerana kedudukan (sudut sidang media) yang jauh,” kata Tian Chua.

 

Zairil pula menyifatkan tindakan berkenaan lebih menyukarkan bagi ahli parlimen yang ingin memberikan penjelasan selepas sesi perbahasan dalam dewan.

 

“Selepas satu-satu perbahasan hangat, ahli Parlimen biasanya akan keluar (dari Dewan) dan memberi komen kepada wartawan sebagai hujah tambahan atau penjelasan.”

 

“Tetapi sekarang, nak bagi penjelasan kena jalan jauh. Kemudian, kalau nak balik ke Dewan, kena jalan jauh juga. Lagi satu, kalau hujan, bagaimana?” soal Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

 

Difahamkan penyusunan semula ruang berkenaan akan mula berkuatkuasa 19 Oktober depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.