Warga Emas Sebatang Kara Mohon Bantuan Baiki Rumah

Kluang – Seorang warga emas yang hidup sebatang kara di Kampung Bentong Dalam, di sini, sejak 36 tahun lalu, hanya bergantung harap wang bantuan JKM sebanyak RM300 sebulan bagi menampung kehidupannya.

Zaleha Abu Bakar, 65, menggunakan wang bantuan yang diterima itu untuk membayar bil elektrik, air dan perbelanjaan hariannya.

Menurutnya, tunggakan bayaran bil air telah menyebabkan bekalan keperluan asas itu dipotong sejak lima tahun lalu.

Kini, dia bergantung harap dengan bekalan air yang disambungkan individu prihatin ke rumahnya bagi memudahkan urusan hariannya.

“Tapi itulah, kadang-kadang ada air, kadang-kadang tiada,” katanya.

Kedaifan Zaleha tidak terhenti di situ, dan tambah menyedihkan apabila rumah yang didiaminya itu tidak mempunyai bilik air dan tandas sehingga menyukarkannya untuk membuang air  serta mandi.

Katanya, setiap kali jika mahu mandi, dia mandi di dalam rumah sehingga menyebabkan keadaan rumah sentiasa dibasahi air.

“Sudah lama rumah makcik tiada tandas dan berharap sangat ada yang sudi datang membantu membina kemudahan itu untuk makcik” katanya.

Selain itu, kesulitan yang turut dihadapi Zaleha adalah kawasan rumahnya sering dinaiki air terutama waktu hujan lebat.

Jelasnya, kedudukan pintu rumah yang betul-betul menghadap laluan air dari jalan utama kampung menyebabkan semua barang miliknya perlu diletakkan di tempat tinggi supaya tidak rosak terendam air.

Zaleha turut berharap agar ada pihak yang tampil untuk membantunya bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi terutama memasang pengadang di bahagian pintu rumah agar tidak dimasuki air hujan.

Menurutnya, dia sudah tidak larat untuk mengemas rumah setiap kali ia dimasuki air berikutan kehidupannya yang sebatang kara.

“Makcik terpaksa bergantung harap kepada jiran untuk datang membantu mengemaskan rumah makcik ini,” katanya.  –  SH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.