Umno Pecat Tiga Anggota Parti Berkuat Kuasa Serta-Merta

Kuala Lumpur – Jawatankuasa Lembaga Disiplin Umno memecat tiga anggota parti dari Maran, Pahang berkuat kuasa serta-merta atas dua kesalahan termasuk mensabotaj parti, kata Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata Mohd Zamri Mohd Sham dari Kampung Sekara dipecat kerana berceramah di pentas Parti Keadilan Rakyat (PKR) semasa majlis penubuhan cabang PKR Maran dan memburukkan Umno selepas tidak berpuas hati dengan kepimpinan bahagian parti itu.

Beliau berkata Mohd Khairi Dahalan dari Taman Sri Keramat dan Ahmad Shukor Awang dari Kampung Senggora pula dipecat kerana memiliki dua keanggotaan parti, selain mengaku menjadi anggota PKR cabang Maran.

“Kita sekarang ini tegas, jika ada dua keanggotaan (parti politik) kita akan pecat terus apabila mempunyai bukti,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di PWTC pada Selasa.

Pada sidang akhbar itu, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa MT Umno mahu penekanan khusus diberikan terhadap usaha pembangunan di luar bandar seperti yang dibentang dalam Bajet 2015 di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas.

Dalam pembentangan Bajet 2015, kerajaan antara lain memperuntuk RM4.5 bilion bagi menyedia dan menaik taraf kemudahan serta infrastruktur kawasan luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Najib berkata anggota majlis turut menekankan kepentingan pelaksanaan serta pengagihan peruntukan Bajet 2015 agar dapat berjalan dengan sempurna dan lancar.

“Secara umumnya, anggota MT sangat berpuas hati dengan Bajet 2015,” katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata semua anggota MT turut mengambil maklum bahawa Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera telah dizahirkan secara terbuka sebagai agenda nasional semasa pembentangan bajet itu.

Bajet 2015, yang bertema ‘Ekonomi Keperluan Rakyat’ menyaksikan sebanyak RM223.4 bilion diperuntuk bagi perbelanjaan mengurus manakala RM50.5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata anggota MT mengambil maklum kejayaan pilihan raya kecil (PRK) Pengkalan Kubor pada 25 Sept lepas dan akan menjadikannya sebagai contoh bagi meneruskan kecemerlangan Barisan Nasional (BN) dalam mana-mana PRK.

Najib turut mengucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai jentera BN pada PRK itu dengan sokongan daripada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

PRK Pangkalan Kubor dimenangi calon BN Mat Razi Mat Ail yang menewaskan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 2,635 undi.

One thought on “Umno Pecat Tiga Anggota Parti Berkuat Kuasa Serta-Merta

  • June 13, 2018 at 5:04 pm
    Permalink

    TAKPE LAH….. BUKAN BAGUS PUN UMNO…. BANYAK PARTI LAGI YG MEMBAWA MANAFAAT DAN KEBAIKAN…. BIARLAH MEREKA BUANG TAK SAKIT PUN TAK JADI KUDIS….. MEREKA PUN DAH ROSAK..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.