Tiga Sahabat Curi Dua Ekor Kambing

Kuala Terengganu – Mahkamah Majistret di sini, semalam, mengarahkan tiga sahabat menjalani hukuman perintah kehadiran wajib empat jam sehari selama tiga bulan di bawah seliaan parol selepas mengaku salah mencuri dua ekor kambing bernilai RM600 milik seorang pembantu am.

Keputusan itu dibuat Majistret Abdul Hayyi Salim selepas ketiga-tiga tertuduh berusia 18 hingga 24 tahun mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh yang dikategorikan sebagai pesalah muda didakwa bersama-sama mencuri dua ekor kambing bernilai RM600 milik Selamah Sidek, 58.

Mereka melakukan kesalahan itu di tepi jalan, Kampung Gong Sekolah, Mengabang Telipot, di sini, jam 2.30 petang pada 10 September lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda.

Mengikut fakta kes, pemilik kambing, Selamah yang berada di tempat kerja dimaklumkan jirannya yang dikenali sebagai Pok Rashid bahawa kambing miliknya dicuri oleh orang yang menggunakan kereta Perodua Myvi.

Sebaik menerima maklumat itu, Selamah bergegas ke tempat dia meletakkan kambing-kambingnya dan mendapati dua daripada binatang peliharaannya itu hilang sebelum mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Gong Badak.

Ekoran laporan diterima, polis berjaya menahan dua daripada tiga sahabat terbabit di tepi kandang lembu, Kampung Tanjung Angsa, Jalan Lapangan Terbang, di sini, kira-kira jam 7 malam pada hari sama.

Hasil soal siasat, dua sahabat itu mengaku mencuri kambing berkenaan dan mengikatnya berhampiran bangunan yang tidak siap di Kampung Tanjung Angsa, di sini.

Bagaimanapun, seorang lagi di antara mereka berjaya ditangkap di rumahnya kira-kira jam 2 pagi pada 14 September lalu.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.