Saintis UM Temui Cara Percepat Penyembuhan Tulang

Oleh: Sakina Mohamed

Kuala Lumpur – Sekumpulan saintis Universiti Malaya (UM) berjaya mencipta implan bioperubatan baru yang berupaya mempercepatkan penyembuhan masalah tulang.

Kejayaan ini bukan sahaja mampu mengurangkan komplikasi ketika dan selepas pembedahan, malah berkemungkinan menurunkan kos prosedur berkenaan.

Kedua-dua kajian itu dibiayai oleh program “High Impact Research” (HIR) UM dan “National Science Fund” di Amerika Syarikat, yang melibatkan Saintis Muda HIR berusia 24 tahun, Alireza Yaghoubi.

Bernama baru-baru ini menemubual Alireza dan Dr Muralithran Kutty dari Jabatan Pergigian Restoratif UM untuk mengetahui lebih lanjut bagaimana penemuan itu dapat mengubah masa depan implan tulang.

 

LEBIH CEPAT, LEBIH KUAT

Mereka yang menjalani implan pergigian atau ortopedik kebelakangan ini berkemungkinan mempunyai implan titanium dalam tubuh mereka.

Bagaimanapun, tulang manusia berasaskan kalsium dan tidak berpaut secara semulajadi dengan logam seperti titanium.

Untuk memautkan titanium kepada sel tulang secara kimia, saintis mencipta salutan seramik bioaktif berasaskan kalsium yang mirip tulang manusia. Proses pemautan ini dipanggil “osseointegrasi”.

Salutan berasaskan kalsium ini berpaut kepada tulang dengan baik. Bagaimanapun, ketika proses pemautan berlaku, pengembangan haba salutan adalah pada kadar berlainan berbanding titanium. Ini menyebabkan retakan mikro berlaku pada salutan itu.

“Perbezaan kadar pengembangan haba juga menyebabkan pengelupasan yang memberi kesan kepada implan yang membawa muatan, seperti dalam penggantian pinggul. Apabila kepingan salutan mengelupas, ia akan bertindak seperti kertas pasir yang bergesel dengan tulang dan akan memburukkan lagi keadaan”, kata Alireza.

Kumpulan saintis UM menemui dua potensi penyelesaian kepada masalah berkenaan.

Yang pertama ialah mengubahsuai secara geometrik permukaan titanium menggunakan kaedah gelombang mikro. Ini jelas meningkatkan kadar osseointegrasi pada peringkat awal.

Teknik baru itu bukan sahaja lebih mudah daripada kaedah yang sedia ada, malah ia membolehkan implan dicipta mengikut kesesuaian pesakit. Selain itu, ia dapat dicipta dalam masa lebih singkat dan pada harga lebih murah di samping menawarkan kekuatan mekanikal lebih lama.

Kumpulan saintis UM juga berjaya mencipta salutan bioaktif yang jauh lebih baik dari yang sedia ada, menggunakan magnesium silikat. Salutan itu tidak akan mengalami retakan mikro.

Ini akan menambahkan jangka hayat implan bermuatan seperti dalam penggantian pinggul. Ia juga akan mengurangkan komplikasi selepas pembedahan.

 

MASALAH IMPLAN GIGI

Implan gigi adalah antara kemajuan terbesar dalam bidang pergigian sejak empat dekad kebelakangan ini.

Prosedur ini melibatkan tiga fasa. Pertama, setelah gigi asal patah atau dicabut, doktor gigi akan menjalankan pembedahan untuk memasukkan implan ke dalam rahang. Tulang sekeliling implan kemudian akan dibenarkan sembuh. Setelah sembuh, gigi palsu akan ditempatkan di atas implan berkenaan.

Muralithran berkata kebiasaannya doktor gigi akan membiarkan pesakit pulang dahulu setelah menjalani pembedahan memasukkan implan titanium ke dalam rahang.

Bergantung kepada kesihatan tulang dan tabiat penjagaan oral pesakit, proses osseointegrasi akan mengambil masa tiga hingga enam bulan.

“Jika pesakit mempunyai tulang yang padu, implan akan berosseointegrasi dengan cepat. Mereka boleh pulang setelah tiga bulan untuk pemasangan gigi palsu.

“Tetapi jika ketumpatan tulang mereka tidak baik, implan tidak akan memaut baik dengan tulang rahang. Mereka yang tidak mengamalkan penjagaan gigi yang baik pula akan mendapati jangkitan kuman di sekeliling implan, jadi doktor gigi terpaksa melakukan semula pembedahan.

“Yang penting di sini adalah untuk memastikan tulang dapat berosseointegrasi dengan baik supaya pesakit tidak perlu menunggu terlalu lama untuk memasang gigi palsu. Lebih lama menunggu, lebih tinggi risiko jangkitan dan lebih lambat sembuh. Kami mengharapkan penemuan ini dapat mempercepatkan penyembuhan dan mengurangkan risiko jangkitan”, katanya.

 

KAEDAH GELOMBANG MIKRO

Muralithran berkata implan yang disediakan secara komersial kini adalah titanium bersaiz pensel yang dipotong mengikut saiz-saiz yang telah ditentukan. Permukaannya pula dirawat dengan asid untuk menjadikkannya kasar bagi membantu sel tulang berpaut dengannya.

Implan yang dihasilkan hanya dalam saiz tertentu bermaksud seseorang pesakit itu tidak akan mendapat implan yang betul-betul sesuai dengannya. Ini pastinya akan melambatkan osseointegrasi. Proses merawat permukaan implan dengan asid pula memakan masa dan kos, di samping menjadikannya sedikit rapuh.

Kaedah gelombang mikro mampu menangani masalah-masalah ini.

“Dengan pemprosesan gelombang mikro, kita tidak perlu mula dengan sekeping logam tetapi dengan serbuk titanium. Setelah memastikan bentuk dan saiz yang diperlukan pesakit, kita buat acuannya dan masukkannya dalam ketuhar gelombang mikro selama 20 hingga 30 minit. Hasilnya ialah implan yang mengikut saiz yang diperlukan pesakit.

“Implan konvensional perlu dirawat dengan asid untuk menghasilkan permukaan ideal bagi pautan sel tulang, tetapi bagi yang dihasilkan dengan gelombang mikro, permukaannya sudah siap dengan liang-liang yang membantu pemautan. Kita boleh terus menggunakannya”, katanya.

Yang menariknya, kata Alireza, doktor gigi mampu mengubah suai jenis liang permukaan implan hanya dengan menggunakan zarah serbuk titanium berlainan saiz.

 

PENGKOMERSIALAN

Alireza berkata pengkomersialan kedua-dua penemuan itu bergantung kepada keputusan ujian klinikal, yang mungkin memakan masa bertahun-tahun.

Namun adakah ia akan menjadi semahal implan yang sedia ada?

“Penghasilan implan gigi pada masa kini sangat rendah kerana ia diusahakan oleh beberapa syarikat tertentu sahaja. Apabila teknologi ini semakin maju dan lebih banyak syarikat mengeluarkannya mengguna cara berlainan, harga mungkin jatuh.

“Namun, implan yang dicipta menggunakan kedua-dua kaedah kami tidaklah begitu mahal. Salutan ciptaan kami boleh menyaluti beribu-ribu implan dalam beberapa minit sahaja. Jadi bolehlah disimpulkan bahawa ia tidak akan menjadi lebih mahal daripada yang sedia ada”, jelas Alireza.

Muralithran bersetuju dengan berkata, “Kami belum lagi membuat pengiraan, tetapi secara dasarnya, ya, ia mungkin lebih murah. Yang lebih penting ialah kualitinya. Pesakit kini boleh mendapatkan implan yang lebih berkualiti dan mengikut keperluan peribadi”.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menjangkakan lebih satu pertiga penduduk dunia akan berumur lebih 60 tahun menjelang 2050. Trend ini lebih jelas di Asia dan Eropah. Ini menyebabkan kajian perubatan regenaratif antara bidang yang paling aktif dikaji dan dibiayai di negara-negara maju dewasa ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.