Rumah Oh Rumah!

Rumahku syurgaku. Ungkapan ini jelas menunjukkan betapa pentingnya rumah dalam kehidupan individu juga bagi yang sudah berkeluarga.

Kenaikan kos sara hidup serta harga rumah mencetuskan pelbagai kesulitan khusus bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Rencana lima bahagian ini mengupas isu rumah daripada pelbagai sudut.

Bahagian pertama daripada lima ini hasil wawancara dengan mereka yang berdepan dengan masalah rumah.

 

Kuala Lumpur – Bagi mereka yang berpendapatan kecil dan tinggal di bandar, dapat tinggal di rumah yang kecil pun dikira sudah cukup baik walaupun merimaskan.

Inilah perasaan yang dikongsi R. Sarania, 19, yang tinggal di Perumahan Awam Desa Rejang, Jalan Persiaran Rejang, Setapak Jaya dengan penulis.

Beliau bukan sahaja tinggal bersama ibu, bapa dan enam orang abangnya tetapi juga tiga kakak ipar dan seorang anak saudaranya.

Ini memandangkan tiga abangnya, Suresh, 30, Ravi, 32, dan Karthik, 29, yang sudah berkahwin masih tinggal di rumah yang seluas sekitar 60.4 meter persegi itu.

 

TIDAK MAMPU

Abang-abang Sarania ada yang sudah bekerja tetapi tidak mampu menyewa rumah kerana keadaan kewangan yang tidak mencukupi.

“Bukan sahaja rimas tetapi segan kerana abang-abang sudah besar dan saya pun bukan kanak-kanak lagi. Memang masalah apabila hendak tukar pakaian”, katanya.

Keadaan rumah yang sesak juga menyebabkan beliau tidak bersemangat untuk belajar atau mengulang kaji pelajaran.

Menurut Sarania, tiga bilik yang ada di rumah itu digunakan secara bergilir-gilir dan keutamaan diberi kepada mereka yang sudah berkahwin.

Abang Sarania, Suresh yang sebelum ini menyewa di Blok C PA yang sama memberitahu penulis bahawa beliau terpaksa menumpang di rumah emak dan ayah buat sementara waktu.

“Saya dalam proses tukar unit rumah ke blok yang lain. Walaupun sudah bekerja lebih lima tahun, tabungan masih tidak cukup untuk beli rumah, terpaksalah menyewa.

“Harapan saya hanyalah kepada perumahan awam”, kata Suresh yang sudah memiliki anak perempuan dan bakal menimang cahaya mata kedua.

 

MUNGKIN TINGGAL MIMPI

Apa yang ditanggung Sarania adalah cebisan kisah duka yang menjadi lumrah kehidupan kebanyakan golongan berpendapatan kecil yang tinggal di bandar.

Seperti kebanyakan orang, mereka mengidamkan rumah yang selesa dari segi keluasan serta kemudahan tetapi mungkin bagi sebahagian besarnya, ia tidak lebih daripada impian!

Mungkin dapat makan dan ada tempat berteduh sudah cukup memadai walaupun terpaksa menebalkan muka menumpang di rumah mentua sementara kedudukan kewangan menjadi lebih stabil.

Makanya, apabila dapat menyewa atau membeli rumah yang dikategori sebagai rumah kos rendah atau program perumahan rakyat atau perumahan awam, bolehlah menarik nafas lega.

Kalau hendak rumah yang lebih besar dan selesa, duit yang perlu dikeluarkan juga kenalah besar.

Penulis yang membuat kajian rambang mendapati pangsapuri yang kalau dibina pada tahun 1990-an dengan harga sekitar RM90,000 kini harga mencecah lebih RM300,000?

Rumah dua tingkat yang dijual pemaju pada harga sekitar RM100,000 kini mencecah lebih setengah juta ringgit?

Bagi yang lagi kurang bernasib baik, mungkin terpaksa menjadi penghuni rumah setinggan sebagai jalan mudah mengatasi kebuntuan mendapatkan tempat tinggal pada kos yang rendah.

Tidak kurang juga yang memilih menjadi gelandangan, menjadikan bawah jambatan atau tempat-tempat awam sebagai ‘rumah tumpangan’, sekadar dapat melabuhkan tubuh badan yang keletihan.

 

MENJADI SETINGGAN

Jadi setinggan kerana tidak mampu sewa rumah. Ini punca utama kemunculan perkampungan setinggan di bandar besar kerana kesempitan hidup.

Cikgu Basir Parto, 58, yang berkongsi kisah dengan Bernama memberitahu bahawa beliau tidak ada pilihan lain ketika itu memilih menjadi setinggan.

Dengan gaji hanya RM415, ditambah pula baharu berkahwin, beliau yang berpindah ke Kuala Lumpur dari Bentong, Pahang atas tuntutan kerja, mengambil keputusan menetap di Kampung Sri Temenggong, Gombak.

“Saya antara penduduk asal kampung setinggan yang diwujudkan pada tahun 1978. Pada awalnya, hanya beberapa orang sahaja tetapi lama-kelamaan semakin ramai.

“Rumah sewa di Selayang pada masa itu RM200 sebulan. Dengan gaji RM415, saya tidak mampu, tambahan pula sudah berkahwin”, katanya kepada Bernama.

Biarpun gajinya semakin meningkat dari setahun ke setahun, tetapi disebabkan rasa ‘selesa’ dan tidak perlu membayar sewa, Cikgu Basir terus menetap di situ sehingga diarah pindah oleh Majlis Perbandaran Selayang pada tahun 2005.

Cikgu Basir dan beberapa penduduk lain nekad tidak mahu berpindah sehinggalah tawaran diterima baru-baru ini daripada pihak pemaju yang akan membangunkan kawasan setinggan itu.

“Mereka tawarkan harga rumah mampu milik pada harga RM60,000 di Sri Gombak, kos pindah RM1,000 dan RM500 untuk sewa rumah sehinggalah dua tahun.

“Saya bersetuju menerimanya. Dulu, kita duduk di tanah yang bukan hak milik tetapi kini rumah itu milik kami”, katanya.

 

TERPAKSA SEWA

Memiliki ‘Rumahku Syurgaku’, inilah impian yang tidak pernah pudar bagi Hazuan Ismail, 35 tahun.

Malah beliau menyimpan hasrat murni itu sebelum mendirikan rumah tangga dengan Desi Lisna lagi.

Bukan sahaja kerana harga rumah yang melambung tinggi tetapi Hazuan, jurutera di sebuah syarikat swasta adalah Orang Kelainan Upaya (OKU).

Kekangan itu membuatkan Hazuan terpaksa menyewa dahulu rumah sebilik di Sungai Merab, Sepang dengan keluasan rumah hanya sekitar 41.8 meter persegi.

Hazuan yang hilang penglihatan di mata kiri ketika kecil akibat kemalangan kemudian nekad berhenti kerja dan mahu mencuba rezeki di sektor awam.

Keputusannya itu kerana ingin mendapat faedah yang diperoleh oleh pekerja kerajaan seperti kuarters dan kelebihan pinjaman perumahan biarpun terpaksa melupakan gaji tinggi selama ini.

“Sudah tiga tahun saya bekerja di Kementerian Pengangkutan sebagai Pembantu Operasi N11. Walaupun gaji tidak seperti dahulu tetapi ada banyak kemudahan.

“Antaranya berpeluang mendapat kemudahan kuarters Putrajaya, ada tiga bilik tidur dan dua bilik air”, katanya kepada Bernama.

 

BERKAT SABAR

Dalam masa sama, Hazuan tetap mencari rumah yang sesuai dengan pendapatannya sehinggalah kawannya mengesyorkan supaya mendaftar di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Berkat kesabarannya selama ini ternyata membuahkan hasil apabila bapa kepada dua anak lelaki ini berjaya dalam cabutan keputusan undi projek perumahan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Bandar Baru Bangi.

“Siapa yang tidak mahu memiliki rumah? Berita ini sangat menggembirakan, terutamanya isteri. Ketika itu, isteri sedang sarat mengandung anak pertama dan kami anggapnya sebagai rezeki anak.

“Kami dapat unit di tingkat bawah kerana keutamaan diberi untuk OKU. Ini akan memudahkan pergerakan selain kawasan ini dekat dengan pelbagai kemudahan seperti bank”, katanya yang dijangka akan menduduki rumah itu dalam masa terdekat ini. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.