Pemuda PKR Lancar Gerakan #RakyatHakimNegara Bantah Anwar Ke Penjara

Kuala Lumpur – Pemuda PKR menggerakkan kempen #RakyatHakimNegara bermula hari ini, sebagai tanda solidariti terhadap Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berisiko menghadapi hukuman penjara ekoran kes liwatnya yang akan diputuskan hujung bulan ini.

Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kempen akan berterusan selama 14 hari sehingga tarikh perbicaraan Anwar pada 28 Oktober ini.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor itu berkata, antara program yang akan diadakan termasuk flashmob, ceramah jelajah negeri, edaran risalah, sehingga program kemuncak iaitu Ceramah Perdana di hadapan Istana Kehakiman Putrajaya pada 28 Oktober.

“Kempen #RakyatHakimNegara bukan sahaja kempen bersifat solidariti untuk Anwar, tetapi ingin membangkitkan kesedaran orang awam dan khususnya generasi muda supaya membangunkan komitmen terhadap keadilan dan reformasi sosial di negara kita dengan pelbagai cabaran seperti penindasan Akta Hasutan, kenaikan harga minyak, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), dan lain-lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.

Kempen itu bermula dengan flashmob di Kelana Jaya esok, kemudian di Selayang, Puchong, Hulu Selangor, serta seluruh negara.

Risalah “Keadilan Untuk Anwar Ibrahim” mengandungi rentetan perbicaraan kes itu juga bakal diedarkan.

“Siri ceramah juga akan dijalankan bersama Anwar di beberapa lokasi di seluruh negara yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Nik Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia itu berkata, pihaknya menyeru orang ramai hadir demi menuntut keadilan serta mempertahankan kebebasan, integriti dan kedaulatan sistem kehakiman negara.

“Kita semua tidak terkecuali kesan kepada integriti sistem kehakiman negara kita, dan kami menjangkakan ribuan rakyat akan hadir pada kemuncak kempen tersebut,” katanya.

Pemuda PKR juga sebelum ini menggerakkan kempen “Countdown” melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter bagi tujuan sama.

Rayuan terakhir Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh itu akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 28 dan 29 Oktober ini.

Mahkamah Rayuan sebelum ini mendapati Anwar bersalah terhadap pertuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Balia Yusof Wahi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Jan 2012 yang melepaskan Anwar daripada pertuduhan itu.‎

Namun, pasukan peguam bela Anwar berkemungkinan menghadapi kesukaran apabila salah seorang daripadanya, N Surendran didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan kes itu.

Anwar dalam reaksinya berkata, dua pertuduhan yang dikenakan terhadap Surendran itu mengganggu haknya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan mahu ia digugurkan serta-merta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.