Pemergian Allayarham Izzat Satu Kehilangan Besar Buat Pas Kedah

Alor Setar – Pemergian kerahmatullah Timbalan Ketua Pemuda Pas Kedah, Ahmad Izzat Mohamad Shauki adalah satu kehilangan besar kepada parti itu.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, Allahyarham mempunyai semangat yang begitu gigih untuk mendekati masyarakat walaupun dalam keadaan uzur untuk menunaikan tanggungjawabnya sebelum ini.

“Pas Kedah mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga ALLAH menerima segala amalannya.

“Pada saya, kita kehilangan seorang pemimpin masa depan yang mempunyai kebolehan berdasarkan ilmu Islam yang dipelajari,” katanya selepas menghadiri upacara pengebumian di Masjid Muassasah Darul Ulum, hari ini.

Menurutnya, Allahyarham adalah seorang pemimpin muda yang berkebolehan dalam merangka dan merancang gerak kerja parti dengan baik.

“Saya dimaklumkan mengenai pemergian Allahyarham kira-kira jam 11.40 malam. Kemudian, saya terus balik untuk memberi penghormatan terakhir kepadanya.

“Sebelum ini, saya sempat berbual dengan Allahyarham sebelum dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Izzat dilantik sebagai Timbalan Speaker Dun Kedah pada 26 April 2010 semasa pentadbiran Pas.

Pada PRU12, Allahyarham telah memenangi kerusi Dun Bukit Lada dengan majoriti 208 undi menewaskan calon BN, Datuk Ariffin Man.

Bagaimanapun, pada PRU13 lalu, Allahyarham tewas kepada calon BN, Datuk Ahmad Sudin dengan majoriti 1,324 undi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.