Meja Bulat ‘Tentangan Fundamentalisme Agama Abad Ini’ Perlu Dibatalkan

Muar – Perbincangan meja bulat bertajuk ‘Tentangan Fundamentalisme Agama Abad Ini’ perlu dibatalkan, kerana ia akan mendatangkan kesan dan ancaman berbahaya jika diteruskan penganjurannya, walaupun kerajaan sudah mengharamkan seorang tokoh liberal Indonesia memasuki Malaysia untuk menyertai perbincangan itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, berkata Islam tidak pernah mengiktiraf fahaman liberalisme atau pluralisme agama, justeru, umat Islam wajar diberi pemahaman menyeluruh mengenai bahaya fahaman itu.

“Undang-undang sedia ada perlu digunakan untuk membatalkan perbincangan itu, kerana fahaman sesat itu langsung tidak boleh diberikan ruang dan peluang berkembang di negara ini.

“Jika kita biarkan penganjurannya, selepas ini akan ada lagi perbincangan kedua, ketiga, keempat dan seterusnya sebelum menjadi amalan.

“Liberalisme dan pluralisme agama akan menyusup masuk dan menjadi perkara biasa untuk dibincangkan tanpa kita sedari,” katanya selepas Program Ramah Mesra Bersama Penduduk Setempat di Parit Kemang, pada Isnin.

Kelmarin, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan arahan tidak membenarkan tokoh liberal Indonesia, Dr. Ulil Abshar Abdalla memasuki Malaysia, bagi menghadiri perbincangan yang dianjurkan Islamic Renaissance Front (IRF), di ibu negara, pada Sabtu ini.

Selain Ulil Abshar, ahli panel lain yang dijangka turut serta dalam perbincangan meja bulat itu adalah Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Tajuddin Rosdi dan Dr. Ahmad Farouk Musa daripada IRF.

Razali berkata, perbincangan isu agama perlu dilakukan pihak bertauliah, walaupun ada pihak yang akan mempersoalkan kewajaran pengharaman perbincangan itu, memandangkan tajuk berhubung Islam liberal boleh diikuti di Internet.

“Memang akan ada yang kata perbincangan mengenai Islam liberal boleh diikuti di Internet, jadi apa gunanya mengharamkan penganjurannya?

“Perbincangan ini perlu diharamkan, kerana dianjurkan secara ‘fizikal’. Kita tidak boleh berdolak-dalih dalam hal ini,” ujarnya.

Menurutnya, semua pihak perlu memahami kebebasan yang diberikan kerajaan kepada rakyat tanpa menyalahgunakannya, apatah lagi umat Islam di negara ini sedang diancam fahaman syiah dan pelbagai ajaran sesat yang sudah bertapak di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.