Landasan Lapangan Terbang Gerik Dinaiktaraf

Ipoh – Perak telah mengemukakan cadangan rasmi kepada kerajaan pusat supaya menaik taraf dan memanjangkan landasan Lapangan Terbang Gerik.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah tersebut seiring usaha promosi Royal Belum sebagai destinasi pelancong negara.

Katanya, kerajaan pusat sudah pun memperuntukkan RM15 juta bagi membolehkan pesawat lebih besar mendarat dengan membawa lebih banyak pelancong terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mahupun Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Subang.

“Kita sedang menunggu laporan daripada Jabatan Kerja Raya dan Pejabat Tanah dan Galian sama ada lapangan terbang sedia ada boleh dipanjangkan atau tidak serta kos naik tarafnya.

“Jika Lapangan Terbang Gerik tidak boleh dipanjangkan landasannya, kita akan mencari lokasi lain di daerah Hulu Perak untuk dijadikan landasan baharu namun saya rasa jika lapangan sedia ada dapat dipanjangkan, ia lebih mudah,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan seminar An Intellectual Discourse On Positioning Royal Belum As A World Class Tourism and Research Destination anjuran Perak Tourism Association (PTA) di sebuah hotel, di sini.

Zambry berkata, kerajaan negeri juga  merancang pelbagai langkah strategik termasuk usaha menambah baik dan menaik taraf kemudahan yang terdapat di hutan tersebut.

“Kita tidak ada rancangan untuk melaksanakan projek pembangunan di Royal Belum sebaliknya usaha kerajaan negeri lebih tertumpu kepada menyediakan kemudahan serta memelihara keindahan alam semula jadinya.

“Pembangunan lebih tertumpu kepada aspek pemeliharaan ekosistem dan kita yakin mampu menjadikan hutan berusia lebih 130 juta tahun ini sebagai pusat pelancongan terkemuka dunia,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri kini giat melaksanakan usaha memelihara alam semula jadi di kawasan itu menerusi Hutan Simpan Amanjaya yang digazet sebagai kawasan hutan simpan.

“Kita telah pun zonkan satu kawasan seluas 18,886 hektar sebagai hutan simpan kekal yang diberikan nama Hutan Simpan Amanjaya yang sebelum kawasan tersebut merupakan hutan pengeluaran balak.

“Kerajaan negeri amat prihatin dalam menjaga ekosistem semula jadi di kawasan ini malah kita sebelum ini kita sudah menanam semula 1 juta pokok malah usaha menanam semula berterusan sehingga ke hari ini untuk menjadi tatapan generasi akan datang,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.