Lami, Klemencic Pendahulu LIMBC 2014 Selepas Pusingan Pertama

Oleh: Ima Aimi Nadia Ibrahim

Langkawi – Pelumba Slovakia Michal Lami dan Blaza Klemencic dari Slovenia menguasai Kategori Lelaki dan Wanita Elit dalam Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) 2014 setelah berakhirnya saingan peringkat pertama hari ini.

Kedua-dua mereka berjaya menyarung jersi kuning (pendahulu lelaki) dan merah jambu (pendahulu wanita) selepas mencatatkan masa terpantas dalam perlumbaan dua hari setakat ini iaitu peringkat pertama hari ini dan acara prolog ujian masa individu yang berlangsung Isnin.

Peringkat pertama “Langkawi Round Island” iaitu perlumbaan sejauh 65 km mengelilingi pulau peranginan ini yang bermula di Taman Lagenda, kategori Lelaki Elit menyaksikan Lami berada di tempat kedua selepas mencatatkan masa 2 jam 22 minit 56 saat (2:22:56s) di belakang Karl Platt dari Jerman, yang mewakili Bulls Team, yang turut mencatatkan masa yang sama, tetapi Platt diisytiharkan sebagai pemenang.

Lami, yang mewakili pasukan kebangsaan Slovakia, menjadi pendahulu saingan dengan catatan masa terkumpul 2:27:52s dalam tempoh dua hari untuk merampas jersi kuning daripada pelumba Switzerland, Nicola Rohrbach yang mengungguli perlumbaan prolog semalam.

Tempat ketiga perlumbaan hari ini dimenangi pelumba Kazakhstan, Kazantsev Kirill dengan masa 2:25:17s.

Lami, 28, berkata beliau tidak menyangka dapat menjadi pendahulu keseluruhan hari ini berikutan laluan yang lebih mencabar dan sukar berbanding acara prolog semalam.

“Di pertengahan jalan, ada 10 pelumba bersama saya namun di peringkat akhir hanya tinggal Platt dan saya, jadi kami berhempas pulas dan melakukan yang terbaik tetapi dia menang. Apapun, memang menghairankan saya kerana tidak menjangka akan muncul pemenang. Namun perasaan berada di podium adalah satu perasaan yang tidak dapat digambarkan kerana ini kali pertama saya menyarung jersi kuning,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan itu.

Lami berkata untuk peringkat kedua esok beliau akan cuba sebaik mungkin untuk mempertahankan jersi kuningnya daripada dirampas pelumba-pelumba lain.

Bagi kategori Wanita Elit pula, Klemencic, 34, yang mewakili pasukan kebangsaan Slovenia, jelas dominan dalam perlumbaan hari ini untuk muncul pemenang peringkat pertama dengan catatan masa 2:45:14s.

Ini merupakan kejayaan berganda kepada Klemencic apabila memenangi peringkat pertama dan dengan catatan masa keseluruhan 2:50:51s, beliau berjaya merampas jersi merah jambu yang dimenangi pelumba Itali, Eva Lechner yang menang perlumbaan prolog ujian masa individu semalam.

Lechner yang mewakili pasukan Colnago Suditrol terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan catatan masa (2:48:04s) manakala tempat ketiga dimenangi pelumba dari Slovenia (SLO), Tanja Zakelj yang mewakili pasukan Unior Tools Team dengan catatan masa 2:51:55s.

“Saya berasa namun masih gembira. Ini kali ketiga saya di sini namun ini kemenangan peringkat pertama dan jersi. Laluannya lebih panjang namun agak mudah berbanding tahun lepas, kurang berlumpur berbanding tahun lepas. Saya tidak menghadapi masalah dengan basikal saya dan akan melakukan yang terbaik untuk perlumbaan esok untuk mengekalkan jersi ini,” kata Klemencic.

Sebanyak lima kategori utama dipertaruhkan pada edisi kali ini iaitu kategori Lelaki dan Wanita Elit, Lelaki Terbuka serta Masters dan Senior Masters Lelaki.

Esok akan berlangsung perlumbaan peringkat kedua LIMBC 2014 ‘Langkawi East To West’ sejauh 45km bermula di Taman Lagenda.

Edisi kelima LIMBC 2014 yang bermula Isnin hingga Sabtu, menawarkan hadiah wang tunai berjumlah US$150,000 (RM500,000).

 

KEPUTUSAN PERINGKAT PERTAMA:

LELAKI ELIT:

1. Karl Platt (GER) Bulls Team (2:22:56s)

2. Michal Lami (SVK) Slovakia National Team (2:22:56s)

3. Kazantsev Kirill (KAZ) Kazakhstan National Team (2:25:17s)
WANITA ELIT:

1. Blaza Klemencic (SLO) Slovenia National Team (2:45:14)

2. Eva Lechner (ITA) Colnago Suditrol Team (2:48:04s)

3. Tanja Zakelj (SLO) Unior Tools Team (2:51:55s)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.